21 March 2006

Belajar Dan Terus Belajar


Bismillahirrahmanirrahim

I. Suatu waktu. Di sebuah cyber cafe. Seorang manusia. Pertama kali jari jemari itu mengetuk-ngetuk papan kekunci komputer berwarna hitam itu. Dalam hati ada sebuah keseronokan yang tidak mampu digambarkan.

Dan malam itu, seorang manusia itu. Dia tidak lena bercerita sebuah keseronokan. Pertama kali hatinya terusik. Dengan sebuah hiburan melalaikan.

II. Suatu waktu. Manusia itu. Masih seperti dulu, tiada berubah. Asyik masyuk dengan sebuah keseronokan. Dia hingga lupa masa, lupa harta, lupa segala-galanya. Bahana sebuah cyber cafe dan sebuah komputer. Dan hampir-hampir dia menjadi gila kerananya.

Namun, ALLAH masih menyayangi dirinya. Dalam setiap doa yang dipanjatkan. Dalam setiap ilmu yang dipelajarinya. Dalam setiap langkahnya, dia bertemu nur, cahaya sebuah petunjuk. Dan kini, cahaya itu menjadi penyuluh sebuah kehidupan. Manusia itu.

Manusia. Dan kelalaian itu. Hanya untuk sebuah masa yang lama telah berlalu. Keasyikan kini, mengenal hati-hati manusia, menilai jahiliah mereka. Manusia itu memahami sesungguhnya. Benar-benar kelalaian dan jahiliah sebuah waktu, mengajar dia mengenal ketaatan yang sebenar-benarnya.

Kerana. Dia dulu di dalam zulumat itu. Dan kini dia telah keluar darinya.

Sesungguhnya ikatan Islam akan terungkai satu demi satu dari diri seseorang jika dia tidak mengenali jahiliah. - Umar Al Khattab

Dulu. Dia begitu membenci dirinya. Terasa begitu berdosa. Kerana sebuah keseronokan hawa nafsu dan dunia. Namun kini, dia bersyukur dengan sebesar-besarnya. Dia kenal Islam kerana dia kenal zulumat jahiliah itu.

Kini. Dia kembali semula. Bukan untuk mengotori dirinya dengan debu-debu jahiliah itu. Bukan untuk tenggelam dengan keseronokan itu.

Dia kembali untuk sebuah tugasan. Untuk sebuah kerja. Yang hanya difahami oleh mereka yang mahu memahami. Yang bukan majoriti.

Kerana. Dia mengerti tauladan sebuah kisah. Jika bukan dia, maka siapakah yang mahu menyeru mereka. Biarlah seribu yang datang menentang. Cukuplah dia dan sebuah pegangan. Dan redha dari Allah Rabbul Ikram.

" Serulah (manusia) ke jalan Rabb-mu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Rabb-mu, Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk
[QS An-Nahl, 16:125]