10 August 2006

Taman Syurga Dunia

Bismillahirrahmanirrahim

" Tiada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat ma'ruf, atau mengadakan perdamaian di antara manusia."
[QS An Nisa',4:114]
Pertemuan itu. Adalah pertemuan antara jiwa-jiwa manusia. Manusia yang mencari kebenaran tentang agamanya. Bukan kata agama ini tidak benar. Bukan kata agama ini tidak sempurna. Kerana inilah fitrah asalnya umat manusia.

Firman Yang Mencipta. Innaddina 'indalLah hilIslam.[QS3:19]

Namun kebenaran itu sesuatu yang perlu dicari, difahami. Sebagaimana manusia berikhtiar untuk makan dan minum, memenuhi syahwat perut. Sebagaimana itulah manusia perlu berikhtiar untuk mencari kebenaran. Al Haq. Al Hidayah. Kedua-duanya dari sisi Allahu Taala. Kedua-duanya menjadi bekal utama dalam permusafiran manusia.

Pertemuan itu. Adalah pertemuan antara jiwa-jiwa manusia. Lantas ditanam padanya kefahaman. Keyakinan. Penuaian hasil pada amalan dan gerak anggota tubuh semuanya. Bermula dengannya ilmu. Pertengahannya bertemu iman. Dan kesempurnaan segala-galanya dengan amal. Kerana pengakhiran sebuah dunia adalah timbangan al mizan. Perkisahan hati dan amalan.

Pertemuan itu. Adalah taman-taman syurga. Syurga dunia. Jiwa-jiwa yang ingin mengenal diri mereka. Kerana. Manusia yang mengenal dirinya, adalah manusia yang mengenal Tuhan yang menciptakan dia. Dan pada peringatan ayat-ayat dari Allah. Jiwa-jiwa itu bertemu ketenangan. Kerana. Ingatlah! Hanya dengan mengingati Allah, jiwa kan tenang.

Dan aku rindu. Pada kenangan setiap pertemuan kita. Kerana permulaan itu, aku berjaya mengenal jiwa yang mempunyai izzah pada agamanya.

Dan apabila dibacakan Al-Qur'an, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan baik (tenang) agar kamu mendapat rahmat.
[QS Al-'Araf,7:204]