Melangkah lagi. Kali ini lebih tenang dan damai. Keresahan yang dahulu kerap kali menjenguk tirai hati, kini mulai beransur menghilang. Kebimbangan dengan rasa lesu dan lemah yang dahulu kerap kali menyinggah melambatkan, kini mulai berganti rasa syukur atas segala kemudahan yang disampaikan Tuhan Robbul Ikram.
Ya Robbi, telah Engkau sampaikan daku kepada golongan ini.
Melangkah lagi. Walau kini serasa lebih laju berbanding dulu. Walau kini kelihatan lebih ramai yang menumpang kafilah berbanding dulu. Walau kini kedapatan wajah-wajah yang ikhlas dan sudi berkorban. Wajah-wajah yang memahami, tuntutan hidup mereka pada makna khalifah utusan Tuhan Robbul Alam. Yang memakmurkan. Yang menegakkan keadilan.
Wajah-wajah itu dipandang satu persatu.
Kita baru bermula sebenarnya.
Dari sudut hati yang terdalam, ada sesuatu yang perlu dikhabarkan. Kepada mereka, yang sudi menumpang kafilah ini. Sebagaimana Muadz bin Jabal menterjemahkan rasa ini dengan satu perkataan. Yang menjadi fasal perlembagaan kepada mereka yang beriman.
Ijlisu bina` nu`min saa`h.
Marilah kita duduk untuk beriman sejenak.
Dari lembaran Muntalaq, kitab karangan Muhammad Ahmad Ar Rasyid, seorang yang hebat, dengan hidup dan dakwah, dengan mati dan syahidah. Duhai sahabat, dia menjelaskan dengan seterang-terangnya langkah bermula kita. Tahu apa katanya ?
Para da`i mukmin itu sentiasa terdedah kepada dua tarikan:
Pertama. Tarikan keimanan, niat, kesungguhan dan kesedarannya terhadap tanggungjawab umat. Makanya, dia sentiasa berada dalam amal soleh dan azam-azam kebaikan.
Kedua. Tarikan syaitan dari sudut yang lain. Menghiasi futurnya, yakni rasa lemah dan berputus asa kepada kerja, kerana telah cukup soleh pada dirinya. Dan menghiasi cintanya kepada dunia. Makanya, dia sentiasa berada dalam kelalaian, malas, PANJANG ANGAN-ANGAN dan berLENGAH-LENGAH dalam mempelajari apa yang tidak diketahuinya.
Dan kerana itulah, orang-orang yang beriman, sentiasa memperingatkan diri mereka untuk menghadiri majlis-majlis tafakur dan saling nasihat- menasihati antara satu sama lain. Dan memeriksa diri daripada hinggapan rasa takabbur, lantas dia menolak kebenaran. Memeriksa diri dengan ilmu dan iman daripada bidaah dan kecuaian.
Supaya dia tidak tergelincir pada langkah seterusnya. Sehingga dia terlupa pada petunjuk dan hidayah Robb Yang Maha Kaya.
Inilah peringatan terbaik buat kita yang baru bermula. Langkah pertama dalam satu perjalanan yang sangat panjang, sangat berliku dan penuh mehnah ujian. Langkah ini jika tidak diperhalusi dan diperbaiki, kerap kali tersadung lantas terhenti.
Bukan sedikit mereka yang bermula, namun boleh dikira mereka yang berakhir dengan matlamat yang sama. Kerana bunga-bunga indah sentiasa memagari jalanan ini. Bunga-bunga itu menghiasi matlamat pertama, lantas kita tergelincir di pertengahannya.
Namun, inilah jalan pilihan. Jalan para utusan yang termulia. Jalan yang memudahkan menuju ke syurgaNYA. Kerana, hanya di jalanan ini ada redha DIA.
Namun, inilah jalan pilihan. Jalan para utusan yang termulia. Jalan yang memudahkan menuju ke syurgaNYA. Kerana, hanya di jalanan ini ada redha DIA.
Dan katakanlah:
"Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan".
[9:105]
Ya Robbi, telah Engkau pelihara kami hingga kini.
Maka, sambungkanlah pemeliharaan itu sehingga hujung jalan ini.