Bismillahirrahmanirrahim
Jemari menari kaku di dada papan kekunci ini. Sedari sepurnama, tiada diberikan ilham untuk mencurah segala rasa di sini. Entah kenapa. Entah di mana silapnya. Atau ada yang perlu digali, dirungkai dan diselesaikan secepatnya. Namun, tidak sesekali akan terhenti lakaran buah fikir di ruang maya ini.Tuhan, jangan pernah Engkau tinggalkan diri ini menggapai hidayahMU sendirian.
16 Mei. Hari ini penghargaan sedunia kepada golongan itu. Golongan teragung, yang tanpa mereka, takkan berdiri para pemuka dunia pada hari ini. Tanpa mereka, takkan mengalir kemajuan yang diwar-warkan oleh jiwa manusiawi. Dan tanpa mereka, takkan selesai muqaddimah iqra pada hamba ini.
Cikgu, teacher, sir, ustaz, ustazah, muallim, muallimah, sensei, prof, doktor... Berilah apa sahaja gelaran, dalam apa sahaja bahasa, mereka adalah manusia yang tanpa jemu mendidik kita. Pendidik, dalam bahasa universal, adalah pembawa lampu, yang tanpa jemu menunjukkan pintu demi pintu untuk kita menjadi manusia.
Dan Muhammad bin Abdullah. Dia pendidik teragung sepanjang zaman. Yang telah melahirkan satu generasi penjunjung Al Quran. Yang telah mengubah satu golongan buta jalan kepada susuk-susuk penyuluh makna kehidupan. Yang telah mengubah satu golongan rosak akhlaq kepada figur-figur pemilik sahsiah cemerlang. Dan terutama, yang telah menunjukkan jalan untuk manusia mengenal pencipta mereka, Robbul Muhaimin. Lantas tunduk dan taat hanya dengan syariatNYA.
Kepada mereka, tiada lafaz yang mampu diucapkan untuk menggambarkan rasa kasih cinta atas segala didikan sehingga terbina diri pada hari ini.
Kepada Dia, tiada ayat yang mampu diukirkan untuk rakaman segala rasa syukur dengan nikmat lestari Islam dan Iman ini.
Kepada belahan jiwa, jazakalLahu khairan khatheera atas ilmu segalanya. Atas sabr yang dibuktikan. Atas azm yang diperlihatkan. Atas cinta yang dicurahkan.
Kepada Tuhan, kumpulkan lah daku bersama mereka dan Dia. Di al Firdausi. Sebagaimana janjiMU. Pada kekasihMu.
Kepada Tuhan, kumpulkan lah daku bersama mereka dan Dia. Di al Firdausi. Sebagaimana janjiMU. Pada kekasihMu.
"Seseorang itu akan dikumpulkan di akhirat dengan siapa yang dicintainya"
[ HR Bukhari dan Muslim ]
Dan sungguh ya Allah, aku menyintaiNya.