01 May 2008

Dua Tahun Lapan Bulan

Bismillahirrahmanirrahim

Dua tahun lapan bulan. Meraikan cinta. Hari ini.

Segala puji bagiNYA yang telah menciptakan cinta untuk mendapatkan apa yang dicintai sebagai sarana. Yang menciptakan taat dan ketundukan kepada DIA berdasarkan ketulusan cinta sebagai bukti. Yang menggerakkan jiwa kepada mencapai berbagai bentuk kesempurnaan sebagai dorongan untuk mendapatkan cinta itu. Dan yang telah mempertemukan seorang gadis dengan belahan hatinya.

Segala puji bagiNYA yang telah menyampaikan kepada nikmat bercinta.

Dua tahun lapan bulan. Dan dia benar-benar bersyukur di atas kurniaan Ilahi. Walau bukanlah yang sempurna, namun itulah yang terbaik dari sisi Yang Maha Mengetahui. Lelaki itu. Belahan jiwanya.

Dia sangat bersyukur dengan taqdir yang telah ditulis itu. Sebermula lafaz ikrar pada yang telah menyaksikan dan disaksikan, dia mulai belajar untuk menyintai lelaki itu. Ikatan memetrikan dua hati. Dia belajar erti mengasihi dan dikasihi. Dia belajar erti menerima dan memberi. Dia belajar erti berlapang dada dan memaafi. Semua dari lelaki itu. Bertatih. Sedikit demi sedikit. Sehingga kini. Dan moga-moga untuk selama-lamanya.

Dan dia belajar erti sabar. As Sabr. Pembelajaran yang paling bermakna buatnya dari tingkat kehidupan yang ini. As Sabr. Betapa kalimah itu menjadi kunci dan penawar kepadanya dalam mendepani setiap ujian yang mendatang. As Sabr. Menjadi pegangan hidupnya agar tidak mudah berputus harap dengan keampunan Robbul Ghoffar.

Kekadang dia merasa lelah dengan setiap fitnah yang hadir. Kekadang dia terfikir kenapa mesti dirinya yang memikul beban ini. Kekadang dia mulai berputus asa dengan realiti yang terpaksa dihadapi. Dia, makhluk yang senantiasa mengharap pada Yang Sempurna.

Hanya sahaja dia mengetahui, tiada yang berputus asa dari rahmat Allah Taala melainkan orang-orang yang kafir. Hanya sahaja, Tuhanmu itu tidak akan membebankan manusia dengan apa yang tidak mampu dipikulnya. Hanya sahaja, Tuhanmu itu suka kepada hamba yang menginsafi dirinya.

Lantas, dia terus meminta. Dan berdoa.

Dua tahun lapan bulan. Meraikan cinta. Dan dia benar-benar bahagia. Walau seribu satu ujian yang menyulitkan jiwanya, dia tetap merasakan bahagia.

Kenapa tidak. Dia dikurniakan hadiah yang paling cocok. Yang mengajarnya erti memberi tanpa mengharapkan balasan. Yang mendidiknya untuk sedia berkorban kerana itulah bukti berkasih sayang. Yang sudi mendengar, lantas memaafkan.Yang menerima dia seadanya kerana makhluk itu hakikatnya tiada yang sempurna.

Ya. Dia cukup bahagia. Moga kebahagiaan itu akan bertambah-tambah dengan kehadiran malaikat kecil mereka. Nanti satu waktu. Ameen.

YA Robbana, kurniakanlah kepada kami isteri dan anak-anak yang kan menjadi penyejuk mata. Dan jadikanlah kami pemimpin orang-orang yang bertaqwa.