22 May 2008

Tuhan Masih Sayang

Bismillahirrahmanirrahim

Sentiasa sahaja dirinya tidak lepas dari peristiwa-peristiwa yang menguji iman dan kesabaran. Semakin dia cuba membawa dirinya mendekat kepada Robbul Qoyyum. Makin besar, makin berat dirasakan perjalanan hidupnya sehari-hari. Dan makin melelahkan.

Semalam. Kerana satu kesilapan yang kecil, dia terperangkap hampir dua jam di satu tempat yang asing dan kebingungan. Hampir-hampir sahaja air mata mengalir mengenangkan kebodohan diri. Keyakinan yang menyebabkan kesombongan mungkin. Dan sombong itu adalah satu kebodohan kepada manusia. Kerana pastilah manusia tidak akan mampu mendaki ke langit. Dan akhirnya kembali ke dalam tanah jua.

Maka, untuk apa kesombongan itu sebenarnya.

Itulah yang menjadi muhasabah dirinya semalaman. Dalam kekalutan dan kebingungan, ada tangan yang menghulurkan pertolongan. Masih ramai yang prihatin di luar sana. Memberi bantuan tanpa mengira masa, mengira siapa. Segala puji bagimu, Yang Memiliki Rahman dan Rahim ke atas makhluk-makhluk NYA.

Dan dia. Seribu satu rasa menghuni sudut yang terdalam. Kesyukuran, kesedaran dan kepastian tentang kuasa Robbul 'Alamin. Tuhan masih sayang. Kesyukuran atas kuasa NYA menyampaikan tangan-tangan yang membantu, walau tidak pernah dikenali sebelum ini. Kesedaran atas maghfirah NYA yang pasti sampai apabila diminta. Kepastian atas kekuasaan NYA yang takkan pernah terhalang walau dengan apa pun.

Allah itu sifatnya sedia Mengetahui apa yang diingini hambanya. Yang penting, doa seorang hamba yang mengingini apakah itu. Namun, itu semua bukan percuma. Ada syarat yang mendahului setiap penyelesaian yang minta disampaikan dari Robbul Ikram.

Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.

Syaratnya, TAQWA dan TAWAKKAL. Tuhan masih sayang. Cuma kunci membuka kasih sayang Tuhan itu di tangan manusia.

Dia muhasabah diri kembali.