16 June 2008

Enam belas Bulan Enam

Bismillahirrahmanirrahim

Dia lelaki pertama yang mengajarkan dirinya untuk mengenali hakikat kasih, sayang dan cinta. Dia lelaki pertama yang mengenalkan dirinya siapa Tuhan dan siapa Utusan. Dia lelaki pertama yang mengajarkan rasa syukur itu dilahirkan melalui ibadah dan ketundukan kepada Robbul Ikram.

Dia dilahirkan pada zaman negara baru awalan mengecap nikmat kemerdekaan. Dia menikmati zaman kanak-kanak bersama keluarga angkat kerana kehilangan kasih ibu ayah kandung sewaktu usia rebung muda. Dia terpaksa melupakan cita-cita yang lebih tinggi kerana kemiskinan keluarga menghambat minatnya terhadap bangku sekolah dan bermain bersama kawan-kawan sebaya.

Dia menghabiskan usia remaja berhijrah ke tanah seberang, berkerja, membanting tulang muda demi mendapatkan sesuap makanan. Dia mengangkut besi-besi, memintal temali kapal dan berjaga malam di pelabuhan demi meneruskan kehidupan.

Kelelahan. Suka duka rentak realiti kehidupan. Luka dan air mata menjadi peneman tidur malam apabila mengenangkan kesulitan hidup yang terpaksa diharungi. Keseorangan. Berulang menangis di tanah seberang. Lelaki itu.

Namun, dia tidak pernah berputus asa. Dia tidak pernah berhenti berdoa kepada Tuhan, untuk ditunjukkan jalan. Dia mahu bersyukur, masih punya kudrat tenaga sebagai manusia. Masih mampu untuk bekerja, menyara diri dan ayah bonda.

Lewat usia remaja, dia kembali ke tanah ibunda. Lebih tepat, ke kampung halaman. Mungkin ada rezeki untuk dikerjakan di tanah sendiri. Hanya perlu berusaha. Dan dia disampaikan kepada rezekinya. Dia ketemu belahan hatinya di sini. Mendirikan rumahtangga dan berkeluarga.

Akhirnya, dia dikurniakan seorang puteri. Saat itu saat yang paling bahagia dalam hidupnya. Dan dia bertekad, takkan membiarkan putri dan putranya merasai keperitan hidup sebagaimana dia pernah merasainya.

Dan puterinya sentiasa diperingatkan dengan kisah kecilnya itu. Dan benar, dia memberikan segala apa yang diingini anak-anaknya tanpa bertangguh. Dia menyediakan hanya yang terbaik tanpa lelah. Dia begitu menyayangi mereka. Dia punya puteri pertama sebagai saksi.

Kini, dia sudah makin mendekati usia senja. Namun, dia tak pernah berhenti bekerja untuk menyara anak-anaknya. Puterinya itu kini telah menjejak usia remaja. Dan lelaki itu tidak pernah putus bercerita. Dan berpesan.

"Ayah dah tua. Ayah tak punya harta untuk diwariskan. Hanya ilmu dan agama menjadi penjaga anak-anak ayah nanti!!"

Dan lelaki itu ayahandaku.

Buat ayahanda.
Selamat Hari Bapa.
Dan selamat ulang tahun kelahiran yang ke lima puluh tiga.
Dan terima kasih untuk kasih cinta.

"Allahumma, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil."
[Al Israa’:24]