31 December 2009

Impian Itu.

Bismillahirrahmanirrahim



Tuhan Maha Mendengar.

Tatkala dia masih meniti jambatan hidup ini dengan langkah yang kerap tersadung, Tuhan membantunya bangkit semula. Tatkala dia merasakan ada harapan yang terputus, Tuhan membisikkan rahmah dan rahman Nya ke dasar hati. Tatkala dia memiliki hari yang serasa kelam kelabu, Tuhan menunjukkannya cahaya serba biru pada alam yang serba terbentang.

Iaitu (ALLAH) Ar Rahman yang bersemayam di atas Arasy.

DIA lah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan di bumi 
serta di antara keduanya dan juga di bawah tanah basah di perut bumi.  
Dan jika engkau menyaringkan suara dengan permohonanmu, (maka yang demikian tidaklah perlu), kerana sesungguhnya ALLAH mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi.
[QS Thoha 20:6-8]




Ya. Tuhan Maha Mendengar.

 Hari ini, ada mimpinya yang telah menjadi kenyataan. Dengan izin Tuhan. Selepas bertahun-tahun dia memendam harapan kerana rasa tidak percaya diri. Tuhan Maha Mendengar doa-doanya. Kini, dia cuba mengumpul kekuatan untuk kembali terbang tinggi.  Mempersiapkan sayap untuk terbang menggapai impian nan satu.  Ada tujuan yang lebih mulia di depan perjalanannya. 

Apabila khabar itu diterima lewat email awal hari semalam, dia agak terpegun. Hampir-hampir sahaja dipeluknya sahabat sepejabat yang duduk di tepinya. Ya, dia begitu gembira. Impian itu akhirnya dikabulkan. Ada air yang bergenang tetapi cuba diempang agar tidak menjadi isu nanti. Ya, dia begitu gembira. Usai zuhur, dia tunjuk sujud lebih lama, menyusun bicara syukur kerana akhirnya  impian yang ini dikabulkan. Dia tidak tahu apa perancangan Tuhan, namun Robbul Izzati adalah sebaik-baik Perancang.

Ya. Tuhan Maha Mendengar.

Dia punya minimun 2 tahun untuk lulus pengajian Master ini. Seharian dengan kerja pejabat yang kerap kali menuntut fokus yang tidak sedikit. Malamnya, waktu untuk menyambung kelas-kelas dan tugasan yang menuntut pengorbanan yang tidak sedikit. Persoalan tentang mampukah? Itu kerap difikirkan. Ini juga ujian. Menata qalbu bagi menilai tugas-tugas azali. Buat masa ini, dia akan terus bertahan. Dan juga doa, untuk kekuatan disampaikan dari sisi Tuhan.



Dalam setiap ujian dan cabaran kehidupan, hikmah itu hanya mampu ditafsir oleh mereka yang dibukakan hijab hatinya. Dan dia teringin untuk menjadi sebahagian dari mereka. Mencipta impian untuk menjadi penghuni al jannah. Mentadabbur ujian-ujian yang dikirimkan oleh Segala Maha untuk menjadi lebih sabar dan berterima kasih. Menerima setiap yang telah ditaqdirkan oleh Maha 'Alim dengan dada terbuka, redha dan berterima kasih. Mereka yang terpilih, memilih jalan yang bukan pilihan manusia biasa. Memilih akhirat dan meninggalkan dunia. Memilih bahagia pada hakikat yang sebenarnya. Itulah mereka yang telah menemui hikmahNya.

Dan senyuman itu ialah pada akhir waktu, apabila timbangan al mizan itu telah sempurna.


Maka tersenyumlah Sulaiman mendengar kata-kata semut itu lantas berdoa;

" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh". 

[QS An Naml 27:20]