27 December 2009

Makna Pada Bersaudara

Bismillahirrahmanirrahim




Dia ke utara hari ini. Ada undangan dari teman seperjuangan untuk berkongsi kegembiraan dan kebahagiaannya menjadi suri hati kepada lelaki pilihan. Undangan yang wajib dipenuhi, selama dia mampu untuk melaksanakannya. Dan dia begitu gembira menyaksikan wajah ceria temannya itu menerima kedatangannya lewat pagi di dewan seri itu. Temannya telah bertukar status lewat isya malam semalam, dan hari ini semuanya telah dihalalkan untuk lelaki dan wanita itu. Dia gembira berkesempatan untuk berkongsi detik-detik itu. Alhamdulillah.

Buat teman yang disayangi; “ Barokallahulakuma wa baroka'alaikuma wa jam'a bainakumaa fi khoir. Moga beroleh rumahtangga yang sakinah, mawaddah dan rahmah. Bersatu, hingga ke jannah.

Menghadiri majlis walimah (hebahan pernikahan) adalah menjadi kesukaan baginya. Sedari kecil, diajarkan oleh bonda untuk sentiasa berusaha memenuhi haq yang ini. Memenuhi walimah apabila dijemput, menziarahi saudara mara di hari-hari kebesaran Islam, menjenguk mereka yang terlantar sakit sedaya mampu dan berterusan mendoakan yang baik-baik untuk mereka yang memerlukan. Dan dia bersyukur mewarisi kelaziman ini.

Menunaikan haq yang wajib atas persaudaraan Islam (selagi termampu dan majlis adalah syar’ie). Melihat kegembiraan pada wajah pengantin menerima kedatangan tetamu adalahi satu kebajikan yang dihadiahi pahala oleh Allah SWT. Meraikan kegembiraan keluarga pihak pengantin atas penyatuan dua hati adalah satu kebajikan yang dituntut dalam Islam.

Di sana ada hakikat persaudaraan yang berlandaskan satu aqidah. Bukti kecintaan pada saudara seagama yang diharuskan, kerana di sana ada tuntutan hidup bermasyarakat dan berkasih sayang. Jelas, agama bukan retorik semata-mata. Bukan amalan sendiri-sendiri, nafsi-nafsi. Bukan sekadar solat, puasa, zakat, berhaji. Bukan sekadar itu. Dan juga bukan sekadar menziarahi tanpa pengertian di sana ada pahala pada menyambung ukhuwwah dan mahabbah. Dan bukanlah mengambil kesempatan atas ketulusan budi saudara-saudara seagama kita, hanya berpura-pura, sehingga merosakkan roh ukhuwwah itu sendiri.



‘Sesiapa yang suka(ingin) dijauhkan dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka hendaklah dia mati dalam keadaan dia beriman kepada Allah dan hari akhirat dan(dalam keadaan) dia datang menyempurnakan hak manusia sebagaimana dia suka supaya manusia menunaikan haknya’
 [HR Muslim]