11 January 2010

Istimewa 110110


Bismillahirrahmanirrahim



Mengikut calendar tahun Masihi, dia berusia dua tujuh hari ini. Pada perkiraan calendar Hijrah, dia telah mencecah usia dua lapan. Baginya usia tidak memberi apa-apa penilaian, melainkan sebuah angka yang bakal tahun akan berubah dan wajah yang bakal dihinggapi kedut-kedut usia. Namun di sana ada peringatan-peringatan yang manis untuknya dijadikan sebagai tazkirah kehidupan.

Dinilainya seseorang manusia itu bukan pada usianya. Namun, pada hikmah yang dilakar oleh akal dan jiwanya untuk menafsir atas hakikat apakah kehidupan dunia ini. Bahawa dia begitu bertuah menjadi salah seorang makhluq yang dipilih untuk memikul tugas kekhalifahan. Tugas yang tidak mampu dibawakan oleh gunung-ganang dan para malaikat. Dan bahawa dia begitu bertuah masih punya nafas dan kehidupan pada hari istimewa.Untuk terus berdiri beramal sebagai seorang hamba kepada Khaliqnya.

Telah berlalu suku abad usia yang sungguh berwarna warni. Laksana pelangi apabila hujan telah teduh. Sedekad yang lalu, dia baru lepas bebas dari konkongan sekolah berasrama, laksana anak burung baru mendapatkan sayapnya. Dia melihat dunia terbentang luas sejauh-jauhnya untuk diteroka dan dijejaki. Lantas dia mulai mencipta makna hidupnya yang tersendiri, mengembara, mengikut gerak hati yang dipandu oleh qada’ Ilahi.

Hari ini dia bangga kerana berjaya menjejakkan kaki di beberapa benua, melihat dunia dari perspektif yang berbeza. Walaupun di sana ada banyak kekecewaan, sekurang-kurangnya anak kampung dan miskin sepertinya mampu untuk terbang hinggap di ranting-ranting yang tinggi. Melihat alam dan merasakan kita ini tiada apa-apa sebenarnya. Mengenal manusia di benua asing dan merasakan kehebatan Allah Taala. Dan atas kesempatan itu, dia berterima kasih kepada Tuhan Robbul Ikram.

Keyakinan akan rahmah Tuhan dan keadilanNYA yang diberikan sama rata, bersyaratkan hamba itu berusaha untuk mengubah nasibnya. Rasa rendah diri itu cuba dihalau sejauh-jauhnya. Rasa mulia hanya dengan iman dan Islam. Dan dia tidak mahu berhenti di sini. Ada cita-cita untuk esok dia mengembara lagi, membelah benua, melebarkan sayapnya. Menjunjung izzah dan ‘ala sebagai khalifah. Untuk merealisasikan itu, dia meminta kekuatan dari sisi Tuhan Robbul Ghani.

Memperbaiki diri, merindukan darjat yang lebih tinggi di sisi Robbul Muhaimin. Sedekad yang lalu, dia masih bertatih dalam perjalanan mengenal Tuhan. Hari ini dia masih bertatih juga, mengutip bekal-bekal taqwa dari hakikat ikhlas dan sabar. Untuk itu, dia mengharap keampunan total dari sisi Robbul Ghoffar. Mengharap juga pada rahmah dan barakah untuk langkah-langkah seterusnya.

Hari ini dia ingin berterima kasih kepada kedua ayah bonda yang telah melahirkan, menyayangi, membimbing dan mengajar dia menjadi manusia. Walau kedua-duanya tidak mampu memberikan sudu emas untuknya, dia berterima kasih dengan segunung kasih sayang dan kemaafan. Walau berpenat lelah mencarikan harta untuk membesarkan kami, itu semua ada ganjaran sedeqah di sisi Robbul Jalil. Dan dia bangga bergelar puteri kepada keduanya.

Tuhan,
Engkau kasihanilah kedua orang tuaku, sebagaimana mereka telah menyayangiku sewaktu aku kecil. Simpankan istana indah itu untuk keduanya di syurga, sebagaimana mereka telah mempersiapkan sebuah rumah yang hangat dengan kasih sayang untukku di dunia.