Bismillahirrahmanirrahim
Dulu-dulu gadis kecil itu akan sentiasa ke sekolah dengan perut kekenyangan. Jarang sekali dibiarkan anak-anaknya ke sekolah dengan perut kelaparan. Dan nilai 20 sen itu, 20 tahun lalu, mampu membuatkan gadis kecil itu tersenyum riang sepanjang waktu persekolahan. 20 sen, 20 tahun lalu, mampu membeli 2 keping keropok dan segelas air sirap untuk mengalas perut. Walau dirinya cemburu melihat teman-teman yang lain berbelanja besar untuk makan, namun dia cukup dengan kenyang. Kerana semangat belajar mampu melupakan rasa lapar yang mencengkam.
Kini, gadis kecil itu mengerti. Seiring usia dewasa, dia belajar untuk faham pada nikmat bersarapan di awal hari. Kenyang itu memupuk fokus, itu pasti. Namun ada rasa berterima kasih untuk hikmah yang lain. Hikmah erti hidup dan syukur. Pada sisi sejarah yang menyaksikan ibu itu berlapar setiap hari ke sekolah kerana miskin. Pada sisi yang kini, ibu itu sentiasa memastikan anak-anaknya kekenyangan ke sekolah, walau hanya berbekal 20 sen.
Pengorbanan seorang ibu. Ibu, guru terawal mengajar erti hidup dan bersyukur dengan segala apa yg ada.
Selamat Hari Guru.
Buat ibu.
Dan mereka-mereka yang pernah singgah dalam hidup ini. Walau sedikit. Untuk mengajar kenal huruf pada lafaz "A".