21 May 2005

Buat seorang sahabat

Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaykum wbt

Kembali menemui sahabat yang namanya sentiasa di hati. Semoga sentiasa di dalam ketinggian iman dan taqwa.

Telah lama meninggalkan warkah Adil tidak berbalas. Hampir setengah tahun. Jika diberikan alasan kenapa masih tidak berbalas, tentu tidak cukup diceritakan sebabnya dalam layangan surat kali ini. Cukuplah sekadar sahabat dapat maafkan diri ini. Kelambatan membalas warkah ini, hanyalah kerana kelemahan dan kekurangan diri ana dalam menguruskan masa. Afwan segala-galanya.

Adil rindu saat-saat dulu, waktu hati Adil gentar setiap kali disebut nama ALLAH. Adil rindu saat-saat dulu , tatkala Adil terasa sakitnya saudara-saudara Islam kita di serata dunia yang sering ditindas. Adil rindu saat-saat dulu , apabila saat Adil merasakan tenang, dan Adil tak perlukan apa-apa lagi, selain dari kasih sayang ALLAH.

Sahabat yang sangat ana sayangi,

Benar-benar ana bertuah mengenali Adil. Sejak dari jatuh cinta pandang pertama dengan persahabatan kita di maktabah ilmu, begitu indah hadiah ukhuwwah fillah ini. Melihat perubahan pada diri Adil , bertudung labuh, berjubah segala, makin menambah hormat dan sayang ana pada Adil. Walau jarang dapat bertemu mendengar khabar Adil, ana yakin Allah sentiasa memelihara teman kesayangan ana ini.

Hanya dengan sebuah keyakinan, apabila kita menolong agama Allah ( bukan sekadar da`wah tetapi juga dengan cara memelihara akhlaq dan peribadi Islami kita ) , maka Allah akan sentiasa menolong hamba-hambaNYA. Yang paling utama, hendaklah sentiasa menjaga hubungan iman dan taqwa kita dengan DIA.

" Bertaqwalah (patuhlah) kamu kepada Allah dan ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertaqwa (orang yang memelihara dirinya dari kejahatan)." ( Al Baqarah: 194)

Berkenaan dengan masalah ini, rasanya Adil sendiri sebenarnya telah dapat menilai mana yang terbaik. Keputusan Adil sekarang menentukan jalan kehidupan Adil. Allah mengurniakan kita dengan ilham di dalam jiwa ini. Ilmu, kefahaman dan tingkat Iman dalam jiwa kita lah yang menentukan pilihan kita. Yang mana ? Jalan ketaqwaan atau kefasikan ? Jalan bahagia atau jalan kerugian ?

" Dan demi jiwa dan Dia yang menyempurnakannya! Maka Dia mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. Beruntunglah orang yang menyucikan jiwa dan merugilah orang yang mengotorinya. " (Asy-Syams:8-10)

Dan pastinya setiap mukmin yang memiliki kesedaran agama dan amal da`wah akan memilih jalan ketaqwaan, jalan yang akan membawa dia bertemu dengan kebahagiaan Mardhatillah.

Dan ingatlah, kita hanya punya satu kehidupan dunia dan satu kematian. Kita punya pilihan, kita mahu hidup mulia dengan Islam dan perjuangan sebagai da`iyah ATAU kita mahu hidup seperti orang-orang lain, punya kerjaya, punya rumahtangga, cukup ke masjid, beramal sikit-sikit. Nah, aku bahagia dengan pilihan aku .!.

Begitu juga kita mahu mati mulia dengan syahid , lantas mendapatkan syurga dan kita telah menang ATAU kita mahu memilih mati sebagai orang biasa.

Benar, ajal maut itu di tangan Tuhan, tetapi mukmin yang menyimpan CITA-CITAKU SYAHID FISABILLAH itulah yang akan membawa dia bersekali dengan para syahidin di syurga Adnin.

"Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad demi agama Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan." (At-Taubah: 20).

Semoga kita semua diberikan hidayah dan petunjuk untuk memilih kemuliaan hidup di dunia dan akhirat. Semoga kita semua dipilih untuk menjadi penolong-penolong agamaNYA.

"Wahai orang-orang yang percaya, jadilah kamu penolong-penolong Allah, sebagaimana Isa putera Mariam berkata kepada pengikut-pengikut yang setia, 'Siapakah yang akan menjadi penolong-penolong aku bagi Allah?' Pengikut-pengikut yang setia berkata, 'Kami akan menjadi penolong-penolong Allah.'" ( Ash Shoff:14)

Akhirul kalam, semoga teman yang sentiasa disayangi ini sentiasa dipelihara olehNYA di setiap tempat, waktu dan ketika. Kita telah pilih jalan ini. Kita pernah tersilap dalam membuat keputusan. Tetapi sebenarnya Allah masih memberikan kita peluang untuk kembali berjuang. Kerana mereka yang pernah tersilap dan bertaubat, merekalah hamba yang benar-benar disayangi Allah Taala.

"Tidaklah sama antara mukmin yang duduk (yang tidak turut berperang) yang tidak mempunyai uzur dengan orang-orang yang berjihad demi membela agama Allah dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya atas orang-orang yang duduk satu derajat. Kepada masing-masing Allah menjanjikan pahala yang baik (surga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad di atas orang yang duduk dengan pahala yang besar. Yaitu beberapa derajat daripada-Nya ampunan serta rahmat. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (An-Nisa': 95-96).

Sekian dulu buat kali ini. Semoga Adil tidak jemu untuk terus menulis berita buat sahabat di sini. Semoga Allah mempermudahkan setiap urusan Adil di sana. Semoga akhir hidup kita semata-mata perjuangan untuk mendaulatkan agama Tuhan ini.

-Sahabatmu yang jauh-