23 May 2005

Fatamorgana

Bismillahirrahmanirrahim


Satu keperluan buat diri. Berjalan-jalan melihat dunia. Walau sesibuk mana urusan kehidupan, sekala-sekali mencuri waktu lapang keluar mengadap alam. Seperti lagaknya satu lirik nasyid ini, berjalan.. melihat.. menafsir... Dan kelmarin, berteman sahabat berdua menjejaki bandar tersibuk di Tokyo, Shinjyuku. Hanya menuju dua destinasi, kedai buku dan restoran. Kenyang perut. Kenyang minda. Rohaninya? :)

Ahad. Hingar bingar bertingkah suara manusia dan kenderaan yang membentuk barisan panjang di jalanan. Telah diagendakan dalam minda pemikiran rakyat berkiblatkan barat, Ahad itu hari liburan. Dan Shinjyuku yang tidak pernah sepi dari hujan manusia, berkesibukan urusan dunia yang tidak pernah selesai. Samada urusan kerja, urusan temujanji atau hiburan, semuanya bertemu pada satu matlamat. Memenuhi hawa nafsu dan tarikan indahnya fatamorgana.

Sesiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, Kami akan berikan kepada mereka balasan sepenuhnya untuk amalan-amalan mereka di dalamnya, dan mereka (di dunia itu ) tidak akan dirugikan.
[QS 11:18]


Gelagat manusia di negara kelima termoden di dunia. Ah, modenisasi itu hanya pada zahirnya, namun, mereka kosong segala-galanya. Mereka punya segala. Harta, kecantikan, teknologi, kemewahan, kemegahan sebagai lambang kemodenan. Dan mereka juga pemegang rekod jenayah dan bunuh diri kedua tertinggi. Apa makna semuanya? Walau punya segala, tetapi mereka jahil, buta dan tuli.

Benarlah, sesiapa yang menyintai dunia, berusaha, nescaya akan beroleh setiap yang diingininya. Yang utama, berusaha. ..dan mereka itu di dunia pasti tidak akan dirugikan. Disempurnakan nikmat di dunia sementara. Hari terabadi?

Memerhati gelagat mereka yang mewah ini, hati timbul sedih sendiri. Betapa mereka jahil, tidak tahu, dunia ini hanya lukisan fatamorgana. Nampak indah di kejauhan, tetapi tiada yang dapat digapai. Nampak bahagia, tetapi hatinya keluh kesah kebimbangan dengan harta-harta. Walau punya istana, isteri Ratu Dunia, harta berjuta, semua itu tidak menjamin bahagia. Kerna bahagia itu dari hati, dan hati itu ada pemiliknya.

Ketahuilah bahawa kehidupan dunia hanyalah satu permainan, dan melalaikan, perhiasan, dan bermegah-megah antara kamu, dan berbangga-bangga dengan harta dan anak-anak; seperti hujan di mana tanamannya mengagumkan para petani; kemudian ia menjadi kering, dan kamu melihatnya menjadi kuning, kemudian ia menjadi hancur. Dan di akhirat ada azab yang keras, dan keampunan daripada Allah, dan keredhaan-Nya; dan kehidupan dunia tidak lain adalah kesenangan yang menipukan.
[QS 57:20]


Dunia hanyalah sebagai ujian. Sebagai peringatan. Sejauh mana sebenarnya kita ini telah melaksanakan tugas azali, khalifah di bumi Allah Taala ini. Betapa indahnya dilahirkan dengan Islam dan Iman. Dan itulah tuntutan, kewajipan buat kita yang bersyukur dan beringat. Perjuangan menyeru manusia. Menyeru mereka yang alpa, terbuai dek perhiasan sementara.

Sesungguhnya Kami telah menjadikan segala yang di bumi sebagai perhiasan baginya, agar Kami menguji siapakah antara mereka yang terbaik dalam amalannya.
[QS 18:7]