Bismillahirrahmanirrahim
Dia merenung ke luar jendela. Bunyi bising motor-motor yang di-modified enjinnya memecah keheningan malam 10 Ramadhan. Anak-anak muda yang hanyut dengan makna merdeka. Jarum jam mulai menjejak tengah malam. Tahun ini, tiada kelihatan percikan bunga api di kejauhan. Bunga api, perarakan segala, sambutan kemeriahan 52 tahun tanah ini telah merdeka. Hanya perutusan ketua negara yang disiarkan secara lansung dari media elektronik. Mengajak rakyat, untuk terus menghayati kemerdekaan ini.Dia tiada ketika tanah ini merayakan detik 31 Ogos di Stadium Merdeka. Dia tiada ketika negarawan negara berulang alik ke London untuk merayu pembebasan dari penjajah berkulit putih. Dia belum dilahirkan ketika itu. Dia generasi yang dilahirkan ketika tanah ini telah makmur. Namun, itu tidak bererti dia tidak menghayati erti kemerdekaan ini.
Merdeka itu. Bukan merayakan kebebasan secara berkumpul beramai-ramai, berpelukan bebas lelaki perempuan, bertepuk tangan bersorak menunggu detik tengah malam. Bukan meraikan slogan-slogan citra moden yang dicipta oleh manusia, untuk menundukkan manusia, agar terus tunduk taat kepada sesama mereka. Bukan kebebasan menyuarakan rasa hati sehingga berani memperlekehkan undang-undang tertinggi Robbul Izzati. Merdeka itu. Bukan ini.
Merdeka itu. Bukan pada zahirnya, meraikan pembebasan dari penjajah sedangkan jiwa dan minda masih tertutup merujuk kepada sistem-sistem penjajah. Bukan pada zahirnya, mengangkat bendera berbintang empat belas sedangkan jiwa dan mindanya masih mengagungkan budaya dari sana. Bukan pada zahirnya, memartabatkan undang-undang ciptaan manusia sedangkan jiwa dan minda telah menyaksikan begitu banyak kebobrokan hasil tangan manusia yang terlepas dari penghakiman dunia.
Merdeka itu. Walau dia belum dilahirkan, namun tidak bererti dia tidak memahami.
Allah mengutuskan kami untuk kami merdekakan manusia;
daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat.
daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat.
Kata-kata seorang lelaki, tatkala dia berdepan dengan penguasa paling berkuasa di dunia (satu waktu dulu). Dialah Rub'ie bin Amir, utusan diplomatik ar Rasul Mustafa kepada Rustum, panglima perang Rom (kuasa dunia ketika itu). Semata-mata mahu memerdekakan manusia. Namun mereka tidak memilih kemerdekaan itu. Sebaliknya Rub'ie dipancung kepalanya. Nilai harga yang dibayar kerana bercakap benar di hadapan penguasa yang maha zalim.
Seorang lelaki yang begitu berani. Rub'ie bin Amir, mengajar kepada kita hakikat merdeka yang sebenarnya. Itulah lafaz paling sempurna dari panglima biasa yang sempurna tauhidnya. Itulah lafaz dari seorang yang berjiwa merdeka. Dan walaupun dia tidak dilahirkan ketika peristiwa ini dirakam sebagai sejarah, dia pun tahu. Inilah makna merdeka yang sebenarnya.
Manusia hanya merdeka apabila dia tunduk mengakui keHAMBAan kepada Tuhan Robbul Ikram. Manusia hanya merdeka apabila dia tunduk mengakui keADILan addin ini yang ditulis oleh Tuhan Robbul Jalal. Manusia hanya merdeka apabila dia mencari keLUASan wawasan akhirah, kampung abadi yang sebenarnya itulah tujuan akhir dia.
Dia mengingini rakyat tanah ini memahami hakikat itu. Walaupun masih panjang perjalanan, dia perlu bergerak, menyambung mata rantai perjuangan. Moga Tuhan sentiasa mengurniakan dia dengan kekuatan, untuk bangkit. Untuk menang.