13 October 2005

Anak-Anak Ummi

Bismillahirrahmanirrahim


Rintik-rintik hujan mulai turun, membasahi perdaerahan berbukit Hiratsuka, menyimbah nyaman pada dua tiga hari kebelakangan yang panas memancar hangat. Berteman akhawat sebaya berdua, langkah kaki diteruskan mencari rumah di atas jalanan berbukit tinggi. Alhamdulillah, dalam remang petang 4 Ramadhan itu, kami selamat menjejaki destinasi dicari, singgahan tarbiyah 2 malam ini.

Wajah-wajah ceria bertudung putih usai solat berjemaah Maghrib menyambut ketibaan kami. Tenang redup rasa, syukur segala-galanya pada Yang Maha Kaya. Tiadalah hati-hati ini berkumpul menyembah melafazkan ketaatan kepadaNYA melainkan dengan rahmat dan kuasa dari DIA jua.

"Dan Dialah (ALLAH) yang menyatukan hati-hati mereka. Sekiranya kamu menafkahkan kesemua (kekayaan) yang ada di bumi, niscaya kamu tidak akan dapat menyatukan hati mereka; tetapi Allah telah menyatukan hati antara mereka; Sungguh! Dia Maha Perkasa, Maha Bijaksana."
~ Al Anfal:63 ~


Dalam hening tenang, malam telah berusia 5 Ramadhan. Senyap tekun semuanya mendengar dan menyelami makna hakikat fitrah rabbani. Satu fitrah yang suci, dicipta oleh Rabbul Izzati, untuk umat manusia melengkapi tugas mereka sebagai khalifah di atas muka bumi ALLAH ini.

Satu persatu wajah-wajah itu direnungi. Betapa sebelum ini kami tidak saling mengenali, kini semuanya seakan satu keluarga bersaudara, berkongsi ceria gurau senda, bersedih hati tatkala derita menimpa. Ukhuwwah, ikatan bersaudara itu indah, apabila semuanya kerana Illah, Tuhan yang mempertautkan pemilik hati-hati ini.

Anak-anak ummi. Kini genap sudah 6 purnama, setengah tahun bersama-sama dengan semua dalam liqa tarbawi ini. Terasa lama pada zahirnya makna, tetapi hakikat tempoh itu masih amat singkat. Masih bergunung ilmu yang ingin dicurahkan. Masih berbalang-balang pengalaman yang ingin ditaburkan. Masih berjuta nikmat rasa yang ingin dikongsi, mengingini agar kamu semua memahami tuntutan kewajipan perjuangan di medan ini.

Anak anak ummi. Percayalah! Kamu punyai banyak potensi. Kehendak, azam, kesungguhan segala-galanya. Potensi itu ada dalam diri kamu. Hanya kini kamu perlukan petunjuk dan cahaya, dan seseorang yang hebat yang boleh mengejutkan semangat juang yang sedang terlena. Menukar keseronokan mengejar dunia sementara ini kepada perjuangan mencari kebahagiaan di dunia yang hakiki.

Anak-anak ummi. Kita ini adalah anak-anak singa, masih ketiduran, tetapi percayalah, ianya tidak lama. Dalam satu masa yang telah ditentukan, pasti anak-anak singa ini bangkit berjuang, melaungkan kembali lafaz hakiki, Allah Tuhan Kami, Muhammad Rasul Kami, Islam agama Kami.

"Dan setiap umat mempunyai ajal (batas waktu). Apabila ajalnya tiba, mereka tidak dapat meminta penundaan atau percepatan sesaat pun."
~ Al A`raf:34 ~


Anak-anak ummi. Sebagaimana janji Allah di dalam Al Quran, setiap umat itu pasti ada batas waktunya. Setiap kekuasaan yang dimiliki, pasti tak lama akan rebah tidak bangun lagi.

Dan apabila umat yang berkuasa pada ketika ini, yang diagungkan ketamadunan mereka yang kosong, bakal jatuh rebah menemui ajalnya, kitalah umat terbaik yang WAJIB bangkit. Kerana telah cukuplah alam dunia ciptaan Allah ini dizalimi oleh tangan-tangan mereka. Telah tiba waktu untuk tangan ISLAM pula memerintah, membawa rahmat seribu kedamaian buat semua.

Anak-anak ummi. Berjual belilah. Berniagalah. Dengan jual beli perniagaan yang paling hebat dalam pasaran. Kamu tidak akan bertemu dengan tawaran ini di tempat yang lain. Melainkan kamu meletakkan kaki kamu dalam medan ini, dan nescaya kamu akan BERUNTUNG, sahamnya akan kamu tuntut di dunia sana.

" Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, diri-diri mereka dan harta-harta mereka, dengan Jannah; Mereka berperang di jalan Allah, mereka membunuh atau mereka dibunuh; sebagai janji yang mengikat-Nya di dalam Taurat, dan Injil, dan al-Qur'an; Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain dari Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli kamu yang kamu lakukan itu; Demikian itulah kemenangan yang besar."
~ At Taubah:111 ~


Anak-anak ummi. Telah usai liqa Hiratsuka kita dua hari ini. Hujan masih merintik lebat di luar. Menyimbah seribu satu rahmat buat makhluknya, juga mengiringi Isnin pertama di Ramadhan 1426H yang mulia. Tetapi ummi harus pulang. Ada amanah lain yang perlu disempurnakan di daerah sana.

Sebelum ummi pergi, ingat pesanan ummi. Anak-anakku! Kita ini adalah pengembara, musafir di bumi sementara ini. Maka berbekallah. Carilah bekalan untuk perjalananmu. Kerana tanpa bekalan, kita takkan sempat pulang. Dan kita takkan dapat merasa nikmatnya berteduh di bawah nyamanan syurga, destinasi terabadi.

"Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah TAQWA; Dan bertaqwalah kepada-Ku wahaihai orang-orang yang mempunyai AKAL."
~ Al-Baqarah:197 ~


Dan siapakah orang orang yang berakal itu? Mereka adalah golongan Rabbani. Fitrah yang suci, paling atas, paling mulia, hanya dipunyai oleh makhluk bernama an-nas, manusia. Dan manusia itu ialah kita. Maka kembalilah. Kembali kepada fitrah kita yang maha agung lagi mulia.

Hingga bertemu kembali anak-anak ummi.

Yang akan merindui kalian,
- u.m.m.i -