05 October 2005

Institusi Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim


Ahlan ya Ramadhan. Mubarak alaik.

Dia kini datang bertamu sekali lagi. Mengetuk pintu-pintu rumah umat yang mengucap kalimah syahadah. Dia datang membawa hidangan 1001 kebaikan. Rahmat, keampunan dari Ilahi dan pembebasan dari api neraka. Dia menjanjikan peningkatan amal dan ibadah bagi mereka yang sudi menyambutnya. Dialah bulan yang di dalamnya mengandungi satu malam yang menyamai ganjaran beribadah 1000 bulan. Pemurahnya pemilik tetamu ini.

Maha Suci Engkau ya Allah. Atas nikmat segalanya ini. 22 tahun kini. Bertemu sekali lagi dengan Ramadhan Kareem. Walau telah 22 tahun usia kehidupan, serasanya makna Ramadhan hanya benar-benar dirasai dalam usia 10 tahun terkemudian, apabila usia mula mengenal matang, mula menghayati Izzatul Islam.

Ahlan ya Ramadhan. Tetamu yang dimuliakan kekasih Rabbul Ikram, Muhammad s.a.w.

Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda. Allah swt berfirman; Melainkan puasa, kerana ianya untuk-KU dan Aku sendiri yang akan membalasnya. Mereka meninggalkan syahwat dan makanan kerana-KU.

Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi disisi Allah daripada bau Misk.
[HR Bukhari Muslim]
.