Mimpi. Samada indah atau menakutkan, kedua-duanya mempunyai intepretasi tersendiri untuk manusia yang mahu berfikir. Dan kita juga sentiasa berfikir, merenung dan menyelami akan makna kalimah mimpi.

Dan kehidupan ini. Tidak terlepas dari perasaan itu. Sehingga kini, masih terasa diri ini seperti dalam mimpi. Ada keindahan yang diingat-kenang. Ada kepahitan yang mahu dilupa-buang. Namun kedua-duanya berintepretasi sendiri dengan kehidupan ini. Menyelami, memahami.
Dan yang tinggal hanya sebuah jawapan. Pada sejauh mana kita ini mahu menilai setiap mimpi, setiap indah nyaman, setiap resah menakutkan. Sejauh mana kita mahu terus dibuai mimpi indah, terleka terus lena. Atau sejauh mana kita bertindak menghentikan mimpi jahat, terjaga mensyukuri itu hanya mimpi.
Setiap jawapan bakal menentukan sejauh mana kita memahami erti mimpi. Ada kesedaran dalam keputusan yang diambil, adakah matang atau kebudak-budakan? Adakah telah terjaga atau mahu terus lena? Dan lantas membiarkan hari-hari yang sebenarnya berlalu tanpa kita ini menyedari, dunia sebenar itulah medan utama penafsiran pemilik hati.
" Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang melakukan kebaikan." [QS Al Ankabut, 29: 69]
Bangunlah. Bangkitlah. Usah terus dibuai mimpi.
Berjihadlah. Meyakini akan janji Sang Pemilik Jiwa, pasti akan ditunjukkan jalan-Nya. Dan jalan itu bukanlah sebuah mimpi. Ianya dimiliki oleh mereka yang tidak mahu terus leka dalam mimpi bersifat sementara. Ianya dimiliki oleh mereka yang mahu menghentikan mimpi buruk yang menghantui akal.
Ianya hanya milik mereka yang berjaga...
Ya Robbi, jangan biarkan diri ini terus terleka dengan mimpi-mimpi duniawi...