17 January 2006

Maka nikmat-Nya...

Bismillahirrahmanirrahim

Senang. Adalah nikmat yang besar, nikmat yang panjang. Sesuatu yang didambakan oleh setiap manusia yang merdeka. Lapang, sihat, bahagia, tenang, aman sentosa. Kesemuanya adalah nikmat dari Tuhan Al Ghani. Yang dikurniakan kerana sifatNya. Dialah Ar Rahman, Maha penyayang pada setiap makhluk, setiap manusia.


" Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat ALLAH, niscaya kamu pasti tidak akan dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Dialah Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
[QS An-Nahl, 16:18]

Dan pada nikmat-nikmat Allah Taala ini, perlu untuk kita tunduk mensyukuri. Kita hanyalah hamba. Yang tidak tahu berapa banyak nikmatNya pada kita. Tiada perhitungan untuk itu sebenarnya. Yang ada hanyalah rasa syukur kita, yang pasti akan sampai kepada pengetahuan DIA.

Namun, hidup tidak selamanya senang. Tidak selamanya tenang, bahagia dan berjaya. Ada ketika roda kehidupan itu berputar, saatnya tiba untuk kita merasa penat, sukar dan gelisah. Setiap ujian yang mendatang, serasa hidup ini sentiasa di dalam keperitan. Dan ketika pintu penyelesaian tiada nampak dibukakan, ketika masalah tiada sudah difikirkan, berapa ramaikah di antara kita yang bersyukur ?

Manusia mudah sabar dalam kesusahan. Namun, hanya segelintir yang bersyukur dengan ujian Allah Taala. Termasuklah diri ini sebenarnya. Terlintas di fikiran, nikmat dan ujian itu, kedua-duanya harus disyukuri. Kerana hamba yang bersyukur, adalah hamba yang memahami hakikat kehidupan duniawi ini.

Syukur dan sabar, kedua-duanya seiringan. Syukur dan sabar, kedua-duanya ubat tatkala berujian susah dan berkehidupan senang. Syukur dan sabar, kedua-duanya kunci kepada pintu Adn`n.

" Kemudian aku (Iblis) akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka; dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur. Allah berfirman, 'Keluarlah kamu dari surga itu sebagai makhluk terhina lagi terusir. Sesungguhnya barangsiapa di antara mereka mengikuti kamu, benar-benar Aku akan isikan Jahanam itu dengan kamu semuanya'." [QS Al A'raf, 7:17-18]

Maka rugilah mereka yang terpedaya dengan keluh kesah dalam kehidupannya, yang leka dengan senang, yang merasakan sial kerana berujian. Semuanya tipudaya makhluk yang terhina. Kerana syaitan itu benar-benar mahukan manusia menemaninya di dalam neraka.

Ya Robbi, sesungguhnya tiada nikmat-Mu yang dapat disangkal oleh kami..