Bismillahirrahmanirrahim
Seorang hamba Allah. Dia di dalam pelarian. Kerana suatu kesalahan yang tidak disengajakan. Kepenatan, kelelahan, ketakutan, semuanya saling bersatu dalam satu rasa. Dan dia akhirnya bertemu sebuah lapang, berehat meredakan lelah dan penat.
Nun di kejauhan ada mereka yang memerlukan bantuan. Dengan tenaga kekuatan yang masih bersisa, hamba Allah itu bangkit, membantu. Walau hanya dengan lafaz terima kasih, itu sudah cukup bermakna buat seorang hamba. Yang dalam pelarian.
Kembali dia ke tanah lapang. Kini segala kudrat itu telah tiada bersisa. Tangannya diangkat, dipanjatkan doa ke hadrat Yang Maha Berkuasa. Dipohonkan doa dengan serendah hati, sehina-hina diri. Dipohonkan dengan penuh pengharapan, setinggi impian.
Kerana dia sedar akan hakikat dirinya. Dia hanyalah seorang hamba.
" Robbi inni limaa andzalta ilayya min khayreen faqeer. "
Itulah kisah terabadi dalam Al Quran. Kisah Nabi Allah Musa a.s yang terakam indah dalam kalam Al Kareem. Pengharapan dan doa seorang hamba, hanya kepada Robbul Ghaffar. Min khayreen faqeer. Sungguh aku benar-benar mengharapkan kebaikan. Dan sungguh aku benar-benar mengharapkan kebaikan itu dariMu Tuhanku.
Doa. Bicara terbaik seorang makhluk dengan penciptanya. Sebagaimana suara itu pelengkap sebuah hubungan cinta antara dua jiwa. Begitulah hakikat makna sebuah doa. Penghubung cinta, bicara hati yang paling dalam, resah yang mendatang, aduan yang sebenar. Hanya dari hamba yang hina. Buat DIA, Tuhan yang Maha Kaya.
" Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku"
[QS Al-Baqarah,2:186]
DIA dekat. Teramat dekat. Hanya yang perlu dilakukan oleh kita, hanyalah seru namaNYA di hati, berbicara sendiri. Dan pasti bicara, aduan dan segala macam itu dikabulkan. Kerana DIA lah, Robb yang Maha Mengasihi lagi Maha Mengurniai.
Ya Robb, syukur amat atas kemudahan urusan pada hari ini. Engkau beri kekuatan, kesungguhan dan kesabaran. Dan Engkau telah permudahkan.
Ya Robb. Hamba ini memohon lagi. Iringi daku. Rahmati daku.