"Dan dari tanda-tandanya telah Ku ciptakan untukmu pasangan-pasanganmu agar kamu dapat hidup tenang bersamanya dengan mawaddah dan rahmah. Dan itu adalah tanda-tanda bagi orang yang berakal."
[QS Ar Ruum, 30:21]
Alhamdulillah. Ku temui sakinah itu. Setelah ku merasakan lelahnya penantian. Setelah keributan menunggu dan menunggu. Setelah serasa lamanya berdoa ke hadrat DIA. Setelah sebuah kesabaran yang dirasakan panjang. Dan kini ku temui sakinah itu. Dalam akhir doa, seakan diri telah merasakan kecewanya.
Dan benarlah. Tatkala hati mulai berputus asa dengan cinta. Dikabulkan olehNYA sebuah pengharapan. Pada saat hati mulai kecewa. DIA mengutus tanda. Rupa-rupanya masih ada ingatan. Rupa-rupanya DIA menyimpan sakinah itu. Untuk satu waktu.
Alhamdulillah. Segala puji bagiNYA, Yang Maha Rahman, kerana telah mengizinkan diri ini. Untuk ku nikmati sakinah itu. Sebuah ketenangan. Dari dalam pandangan mata cinta seorang lelaki, yang selayaknya bergelar suami. Dari dalam belaian lembut sentuhan dan usapan tangan seorang dia. Dan dari dalam santunan bahasa dan bicara cinta.
Dan lelaki itu. Hanya dia yang seadilnya pilihan Allah Maha Kaya.
Alhamdulillah. 27 Rejab. Hari ini. Setahun yang lalu. Pada lafaz kata yang menghalalkan segala-galanya. Pada pandangan mata kali pertama. Pada bisikan halus cinta yang menandakan langkah bermula. Untuk kami menyambung episod kehidupan yang seterusnya.
Perkisahan kedua dalam nafas yang dikurniakan Tuhan. Perkisahan sebuah sakinah, mawaddah dan rahmah. Sebuah ketenangan, kasih sayang dan kebahagiaan.
Hari ini. Ku memandang-mandang pada masa yang telah berlalu. Pada pelbagai warna impian. Pada segala cita-cita. Untuk membina diri yang lebih matang dan sabar dalam mendepani sebuah kisah kehidupan. Untuk merasakan kenikmatan yang dilimpahkan Ar Rahman.
Pada pembinaan baitul ikram. Sanggaran dua jiwa. Didasari iman dan saling ingat mengingatkan. Untuk saling melengkapkan. Untuk sentiasa memperbaiki diri dan peribadi. Untuk menempati syurga yang terabadi.
Hari ini. Ku melihat semula. Apakah telah tercapai segala impian lalu ku itu?
Dan jawapannya ku temui, dari sisi pandangan mata lelaki itu. Yang telah banyak mendidik diri ini, dari dalam diam. Menyedarkanku tentang erti sebuah kesabaran, kematangan dan kesyukuran. Dan ketaatan kepada seorang lelaki. Demi redha Ilahi.
Dia tidaklah sesempurna mimpi. Namun Allah, DIA yang Maha Bijaksana. Hadiah dariNYA untuk kami saling mensyukuri. Diutuskan segala impian itu dalam satu jawapan. Yang seadil-adilnya.
Hari ini. Kusyukuri pilihanMU Tuhan. Ku akui kelemahan diri. Pandangan mata manusia yang terbatas, dan Engkaulah yang Maha Berkuasa. Pandangan hati yang kerap kali dikaburi hawa nafsu ini, dan Engkaulah yang Maha Mengetahui.
Dengan hati yang penuh berkarat dosa, Engkau kirimkan hadiah yang paling istimewa. Dengan jiwa yang sentiasa alpa, Engkau tunjukkan lafaz paling mulia. Dengan banyaknya kelemahan diri, kau utuskan dia sebagai penyempurna.
Hari ini. Bersanding dua hati. Demi membina baitul Rabbani. Demi melestarikan sebuah keturunan yang bakal memberikan bobot pada bumi.
Hari ini. Dan tahun-tahun yang bakal mendatang. Redhai lah kami. Rahmati lah kami. Dan berkati lah langkah kaki ini. Demi Engkau yang memiliki cinta ini. Untuk kami gapai Cinta-MU Robbi. Pemilik cinta teragung.
Ya Robbana, jadikan lah kami pemimpin hamba-hambaMU yang bertaqwa.