Bismillahirrahmanirrahim
Semalam. Ada doa terukir buat seorang insan. Yang hanya dikenali lewat layar skrin besar. Namun namanya telah lama gah di dunia luar sana. Wanita itu. Atas dasar perikemanusiaan dan fitrah insaniah. Telah mengorbankan segala-galanya. Namun. Caoimhe Butterfly. Ada sesuatu yang kurang pada dia.
Perumpamaan orang-orang yang kafir kepada Rabbnya, amalan-amalan mereka adalah seperti abu yang ditiup angin dengan keras pada suatu hari yang berangin kencang. Mereka tidak dapat mengambil manfaat sedikitpun dari apa yang telah mereka usahakan (didunia).
[QS Ibrahim,14:18]
[QS Ibrahim,14:18]
Mengenal kisah pengorbanannya. Laksana mengulang tayang kisah sirah lama. Ayahanda saudara manusia yang teragung. Dia yang rela berkorban apa sahaja. Tetapi terlupa pada Sang Pencipta. Betapa dia mengenal manusia itu atas dasar fitrahnya sahaja. Tetapi tidak kembali kepada yang telah menciptakan manusia.
Memerhati lagak lakunya di skrin layar. Keberanian dan keyakinan miliknya adalah satu kebanggaan. Dia wanita. Yang kerap kali ditafsirkan lemah. Namun, apabila hati itu mengenal hakikat manusiawi, ianya kan bangkit laksana singa betina kehilangan anaknya. Dia wanita. Yang dikurniakan kedekatan untuk mengenal kezaliman manusia. Namun, dia sendiri masih berlaku zalim.
Wanita itu. Ku cemburui semangat juang yang dimilikinya. Kesempatan amal amal yang sepatutnya diteladani oleh saudara-saudara Arabku di daerah sana. Peluang mengumpul pahala. Dan mengenal kebaikan. Dan menyampaikan kebenaran. Ah. Betapa aku cemburu.
Namun. Caoimhe Butterfly. Ada sesuatu yang kurang pada dia.
Dan orang-orang yang kafir, amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang datar yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu, dia tidak mendapatinya sesuatu apapun.
[QS An-Nûr,24:39]
[QS An-Nûr,24:39]
Semalam. Ada doa terukir buat seorang insan.
Ya Robbana. Sampaikanlah hidayahMU kepada DIA. Dan kepada mereka yang seumpama dia. Kerana. Milik Engkaulah hidayah ini.