Dan dialah bulan yang pada awalnya ALLAH turunkan rahmah, di pertengahannya, keampunan dan pada akhirnya ALLAH membebaskan hambaNYA dari api neraka.
[HR Ibnu Majjah]
Ramadhan. Yang dinukilkan dengan kalam Tuhan, dalam kitabnya yang teragung sepanjang zaman. Satu kewajiban. Bagi membina taqwa. Diwajibkan kepada kamu berpuasa. Sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu. Agar kamu bertaqwa. Al Baqarah. 183.
Taqwa. Di mana-mana sahaja kamu berada, kamu tetap tegar sentiasa, memelihara syariatnya. Samada beramai-ramai, atau berdua, atau keseorangan. Dan taqwa. Seolah-olah kamu berjalan di jalanan yang berduri. Bagaimana kamu begitu berhati-hati. Dan begitulah seterusnya dalam menyelami hakikat taqwa. Akhlaq terindah. Capaian iman tertinggi. Impian bagi mereka yang mahu menjadi mulia. Pada sisi pandangan Rabb yang menciptakan segala.
Dan bukanlah rupa cantik. Dan bukanlah harta bertimbun. Dan bukanlah semaju atau semulia bangsa apa kamu. Hanya yang menjadi ukuran di sisi DIA yang Ikram, hati-hati kamu. Yang di sana tersimpan taqwa itu. Dan usaha menggapai taqwa itu usaha dari kita, manusia, mahkluk DIA. Dan pemberian taqwa itu dari DIA, Yang Maha Memiliki segala. Yang memberi, lansung tidak berkurangan walau satu apa.
Ramadhan. Medan pentarbiyahan diri dan nafsu. Madrasah teragung mujahadah diri. Satu kurniaan dari DIA. Kepada ummat Muhammad ibn Abdullah. Kerana sifat rahmatNYA.
Tuhan. Rahmat Mu selangit tinggi. Keampunan Mu seluas angkasa raya. Rahmatilah kami. Ampunilah setiap dosa-dosa kami. Dan sampaikanlah kami kepada hakikat Ramadhan MU.
Semoga Ramadhan ini menjadi titik tolak, langkah bermula. Untuk kehidupan yang lebih bahagia.