Bismillahirrahmanirrahim
Sedari pertama kali mata memandang dia. Seorang tua. Di sebuah simpang tiga. Kereta bersimpang siur di sebuah jalanan yang sentiasa sibuk. Gelap pekat malam mula menyimbah mewarnai sekeliling. Dan matahari telah lama menyembunyikan diri.
Dia. Seorang tua. Masih tekun dengan jualannya. Berteman sebuah motor buruk yang masih tegar berjasa. Motor beroda tiga. Dan di sisinya bersusun pelbagai bekas berisi ulam-ulaman dan serba serbi jeruk untuk perut pelanggan. Dia. Si penjual rojak. Di sebuah simpang tiga. Dan matahari telah lama menyembunyikan diri.
Dia. Seorang tua. Masih tekun dengan jualannya. Berteman sebuah motor buruk yang masih tegar berjasa. Motor beroda tiga. Dan di sisinya bersusun pelbagai bekas berisi ulam-ulaman dan serba serbi jeruk untuk perut pelanggan. Dia. Si penjual rojak. Di sebuah simpang tiga. Dan matahari telah lama menyembunyikan diri.
Dia. Pada kali yang pertama ku melihatnya, hanya terdengar suara, sayup-sayup dari belakang. Sebaik bas berwarna biru muda itu berhenti, mengambil waktu memerhati sekitaran. Dan mula bergerak mengundur ke belakang. Dia bangkit berdiri di tepi simpang. Mengangkat kedua-dua anggota tangan." Boleh. Boleh lagi. Lagi. Passsssssssss !! "
Dan bas itu meluncur pergi, sesudah menumpahkan penumpang-penumpang malam. Dan aku masih terngiang-ngiang, mengingati suara tua itu.
Dia. Pada kali yang seterusnya. Telah bersiap segala untuk meninggalkan tapak jalan itu. Dan bas berwarna biru muda itu mulai berhenti, bergerak mengundur ke belakang. Ah, pakcik tua. Rela turun dari motornya. Berdiri di sisi jalan dan mengangkat kedua-dua anggota tangan.
Dan suara tua itu berkumandang lagi.
Dan aku terpandang pada anak-anak muda yang berdiri bergurau senda. Lelaki dan perempuan. Juga. Mereka di sisi jalan. Di sebuah simpang tiga.
Dari saat itu, hatiku berdetik sayu. Betapa baiknya pakcik tua ini. Meringankan beban saudara, atas makna kemanusiaan. Walau diri sendiri dalam kesusahan. Betapa baiknya akhlaq yang diukirkan. Hanya menunggu kita ini mengambil pengajaran. Dan anak-anak muda itu. Masih perlu diasuh, diajarkan dengan keindahan berbudi baik.
Dan aku jadi teringat pada sebuah sabda. Dari lisannya yang paling mulia. Dan selemah-lemah iman itu engkau menyingkirkan duri di jalanan orang.
Duri itu ya benar. Duri. Namun ianya juga bererti kita ini membuang halangan-halangan yang ada di jalanan, di simpang, di mana-mana lorong kegunaan manusia. Dan menyingkirkan duri itu boleh disama-ertikan dengan mempermudahkan urusan saudara. Di dalam perjalanan dia. Dan itu juga merupakan cabang iman. Di mana iman itu sebenarnya yang membentuk akhlaq kita.
Dan sehingga kini. Pakcik tua itu masih menempati sisi jalan. Di sebuah simpang tiga. Dan aku benar-benar berharap. Agar si tua sentiasa di situ. Menunjukkan ruang buat sebuah bas berwarna biru, untuk bergerak mengundur ke belakang. Dan mengambil ruang, untuk bas biru muda meneruskan perjalanan.
Itulah hikmah pengajaran. Dari sisi jalan. Sebuah simpang tiga.