Bismillahirrahmanirrahim
Hari mulai redup. Bayu dari seberang laut bertiup lembut, membawa makna damai. Langit dan biru. Awan dan putih. Memberi tenang pada hati yang mengingati semua ini adalah keagungan dan kekuasaan DIA yang Maha Kaya.Hari mulai redup. Di sebuah masjid kecil. Di pinggiran sebuah kesibukan. Dan tidak jauh dari sebuah rumah ibadah, bangsa yang menyekutukan ALLAH, DIA Yang Satu. Dan di tanah ini ada kekuatan aqidah utama yang tersembunyi.
Di sebuah masjid kecil. Ada perkumpulan umat manusia. Yang mahu mencari hidayah. Yang mahu meniti kehidupan dengan perbekalan iman. Yang memahami tuntutan hidupnya bukan pada makan, minum, tidur dan dunya semata-mata.
Dan mataku ralit memandang perkumpulan manusia itu. Pada cerah wajah mereka. Pada keazaman yang terbina. Pada kesungguhan dalam mendalami makna sebuah addin. Pada ketenangan yang menjelma. Dalam sebuah taman syurga dunia.
Tidak lama. Keasyikan ini terganggu oleh sebuah pemandangan.
Di pinggir sana. Terasing. Dan menyendiri. Seorang lelaki. Berbaju T lusuh warna kelabu, berseluar jeans lusuh biru. Hitam gelap. Seperti Bilal, desis hati sendiri. Dan di tangannya ada sebuah kitab Agung. Asyik dan khusyuk. Dia.Terasing. Dan menyendiri. Menyelami makna-makna kalam Tuhan dari dalam sebuah mukjizat teragung tinggalan zaman. Meneliti helaian-helaian kuning, mencari ketenangan dari sebuah lembaran kalam Ilahi. Asyik dan khusyuk. Dia.
Satu pemandangan biasa sebenarnya. Seorang lelaki berbaju lusuh berseluar jeans biru muda. Namun, luar biasa apabila pemandangan itu tertancap di sebuah sudut masjid. Di sebalik keramaian manusia di luar sana. Di sebalik kesibukan dunia. Dia. Sepi sendiri di sudut masjid ini. Di dalam tenang. Di basahi lidahnya dengan kalam Tuhan.
Sesungguhnya Allah SWT tidak memandang kepada tubuh badan kamu dan tidak pula kepada bentuk rupamu, tetapi Dia memandang kepada hati-hati kamu.
[HR Muslim]
[HR Muslim]
Hati-hati manusia. Tempat jatuhnya pandangan DIA.
Dan. Ku syukuri. Sebuah pengajaran. Suatu Sore 14 Ramadhan.