30 October 2006

Trajedi Oktober

Bismillahirrahmanirrahim

7175. Baru berusia 24 hari dalam pegangan. Baru berusia 2 hari di tanah berpulau mutiara ini. Baru sahaja dibawa berjalan-jalan mengenal pekan dan bandar-bandar kecil.

7175. Menemui celaka pada hari ini.

Usai matahari petang meredup hari di ufuk barat, aku turun mahu melangsaikan beberapa urusan yang terbengkalai kerana kepenatan bermusafir semingguan Eid. Menjenguk 7175 yang diparkir belakang kanan bangunan. Meneliti . Dan belakang 7175 bercalar bekas goresan. Entah angkara tangan siapa.

7175. Menemui celaka pada hari ini.

Ada sedikit calar bekas goresan badan kereta di belah kanan. Ada calar-calar putih kelabu hitam di sebelah kiri. Ada haqnya yang dirampas. Ada yang patah. Hati.

Aku naik semula mengambil kunci 7175. Dialihkan parkir ke bawah bumbung yang sepatutnya. Semalam parkir itu ditumpangi oleh mobil merah hati. Hari ini 7175 mengambil tempatnya.

Dan hati menyumpah seranah manusia durjana itu. Entah siapa dia. Yang pasti, 7175 tidak bersalah. Jika ada, tidak sepatutnya dicalari sebegitu rupa.

Namun, jauh di sudut hati, aku berterima kasih kepada Tuhan. 7175 masih cantik elok. Tidak dijahanamkan dengan pengkhianatan yang memusnahkan. Ada mereka yang terpaksa berhabis beratus-ratus ringgit angkara tangan yang durjana. Ada mereka yang lansung dipecahkan cermin, dipancitkan tayar, dipatahkan itu ini. Ada mereka yang lansung dicederakan kerana manusia itu tidak sabar.

Namun, 7175 masih cantik elok. Dan aku benar-benar bersyukur.

Dalam doa lewat sore 6 Syawal. Ada hajat yang terpatri. Tuhan, pelihara kami dari kezaliman makhluk-makhlukMu. Selamatkan kami dari tangan manusia-manusia yang durjana.

Cinta dunia. Tidak membawa kamu ke mana-mana. Melainkan kebinasaan semata-mata.