08 November 2006

Bicara Hati Bonda

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah. Segala puji bagi Mu Robbi, atas nikmat segala. Subhanallah. Maha Suci Engkau ya Allah, Tuhan yang masih mengekalkan daku dalam segala nikmat teragung kehidupan ini. Dan selawat serta salam ke atas junjungan besar kekasihMU, Muhammad s.a.w.

Semalam. Pada satu kesempatan yang diizinkan Ilahi. Mengembara dua negeri. Mengembara mencari penyatuan atas nikmat berkasih sayang dan bersaudara. Bermusafir mengukuhkan ikatan kasih sayang. Mencari kekuatan dan penawar kerinduan dari mereka, yang bernama bonda.

Di hujung negeri timur. Ada wanita yang tabah. Dengan tangannya dan kudrat yang ada, mencari sesuap nasi, memudahkan rezeki suami. Berdua berganding bahu, bekerjasama, melestarikan makna kehidupan berumahtangga. Dan semua usaha itu bukan untuk diri sendiri. Namun, untuk anakanda-anakanda jua. Kerana mereka memahami tuntutan amanah Ilahi.

Wanita itu berbicara panjang denganku. Meluahkan segala resah rasa dan bercerita segala kisah meruntun jiwa. Dan aku hanya mendengar. Cukuplah dipinjamkan telinga dan sedikit masa untuk meringankan bebannya. Untuk memahami, dan menyelesaikan setiap masalah itu, sungguh. Sungguh aku tidak mampu. Hanya doa buat penawar dan kekuatan. Senjata orang-orang yang beriman.

Di pinggiran kota raya. Semalam juga. Ada wanita yang lebih dewasa pengalaman hidupnya. Wanita itu hanya terbaring kaku di pembaringan serba biru, hilang separuh kudrat apabila kekuatan kaki yang dipinjamkan itu, diambil semula oleh Tuan yang Haq. Namun matanya masih hidup. Masih bercahaya. Dan wajah itu benar-benar mengusik ratna kalbu ku. Pada sebuah wajah berbeza, yang benar-benar dirindui. Di benua sebelah sana.

Wanita itu berbicara segala cerita. Dari kemuliaan keturunan, hingga penawar buat jiwa yang kegersangan. Bicaranya lancar dan bernada ceria. Berkongsi segala pengalaman kehidupan, untukku jadikan penyuluh jalan depan. Berbahasa indah berbunga, berpantun ceria. Untukku jadikan tauladan buat langkah seterusnya.

Dan hingga saat perpisahan, wajah itu masih tetap tersenyum indah. Makin menggamit ingatanku pada kekasih hati, lelaki itu. Aku tahu dia merindui lelaki itu. Dari pandangan mata yang redup, dari lisan yang lancar bercerita. Ada sendu dan rindu tertanam, pada nama lelaki itu. Dan aku tahu. Dia mengharapkan kehadiran lelaki itu di sisinya. Aku tahu. Dan aku faham. Kerana aku juga begitu.

Semalam. Ada dua bicara yang terukir. Dari sudut hati terdalam. Pengalaman kehidupan yang terdahulu, buat diri ini jadikan suluhan memandu langkah kaki. Dari lubuk hati. Pengharapan dan impian, perwasiatan buat generasi terkemudian. Memahami dan mengakui erti kasih sayang seorang wanita. Yang tegar. Yang tabah. Yang hebat. Yang bernama bonda.

Tuhan,
Sampaikanlah daku.
Kepada saat itu.
Saat mendakap seorang khalifah.
Lantas.
Memahami erti makna kata seorang bonda.