14 November 2006

Mencari Kamilah

Bismillahirrahmanirrahim
Semalam ada bicara. Bicara antara jiwa-jiwa yang merindukan perjuangan. Bicara antara jiwa-jiwa yang memahami tuntutan kehidupan mereka atas agama ini. Semalam yang panjang. Yang menjadikan jiwa-jiwa ini kembali memuhasabah diri.
" Pada hari ini telah AKU sempurnakan untukmu agamamu, dan telah AKU cukupkan kepadamu nikmat-KU dan telah AKU redho Islam itu sebagai agama bagimu."
[QS 5:3]

Hari ini. Dan semalam. Sejarah yang berulang. Dua peristiwa yang sama. Dan apabila mendengar satu perkisahan dari lisan-lisan mereka, aku jadi termenung sendiri. Kerana perkisahan itu pernah berlaku dulu. Dan masih jelas terbayang di ruangan mata setiap detik itu.

Mencari kamilah. Mencari kesempurnaan. Aku pernah menempuh saat getir itu. Apatah lagi dalam keadaan diri mahukan setiap daya yang bernama kesempurnaan. Dan kerap kali rasa tidak puas hati itu berkumpul sendat di kepala. Memeningkan. Dan melemahkan gerak kaki untuk bekerja. Lantas mencipta amarah yang terpendam.

Mencari kamilah. Kerana diri dirasakan sempurna. Kerana jiwa ini tercipta dalam sebaik-baik ciptaan. Sebaik-baik makhluk ciptaan Tuhan. Ahsani taqweem. Dan tercipta dalam fitrah makhluk ini, pencarian pada sebuah makna kamilah. Memohon hidayah dan petunjuk dari DIA, agar di landasan juang ini, ada kamilah itu. Meminta cahaya dariNYA. Agar di kehidupan yang telah dipilih ini, ada kamilah itu. Meminta dan terus meminta.

Allah itu Maha 'Alim dan Maha Adil. Pengkabulan hajat dan doa dalam bentuk yang berlainan. Bersulam ujian demi ujian. Hampir-hampir sahaja diri ini tergelincir. Andai tidak disuluh akhirnya dengan pertolongan Allah SWT. Didatangkan olehNYA seorang lelaki. Dan sehingga kini, diri benar-benar berterima kasih kepada dia. Dan bersyukur penuh ke hadratNYA. Kerana bicara dua jiwa itu telah mempertemukan aku dengan kamilah itu.

Dan sehingga kini, tidak pernah berpaling lagi. Walau beribu ujian yang datang menghalang, langkah kaki ini tetap diteruskan. Kerana telah tercipta sunnatullah pada medan kehidupan yang satu ini. Kehidupan yang penuh dengan ranjau berduri, berliku dan derita. Kehidupan yang di akhirnya ada bahagia. Kehidupan para nabi, sahabat, solehin dan syahidin.

Dan bicara semalam telah membuka semula lembaran satu sejarah itu. Sejarah diri aku. Sejarah yang sama dalam diri mereka, yang memahami tuntutan dakwah dan perjuangan. Dan mereka juga bakal tergelincir. Jika tidak dipandu dengan cahaya pertolongan dariNYA. Dan aku terfikir-fikir kini. Bagaimana jawapan yang terbaik buat mereka, jiwa-jiwa yang mahukan kemenangan. Namun jangan sampai tersadung di pertengahan.

Pada hari ini, telah Aku sempurnakan untukmu agamamu, dan telah aku cukupkan atasmu kenikmatan-Ku, dan Aku ridho Islam menjadi agamamu
[HR Bukhari]
Dan jawapan terbaik. Dari lisan insan teragung. Sesungguhnya. Cukuplah Islam itu sebagai kesempurnaan buat diri kita semuanya. Dan pada manual kehidupan manusia, kitab teragung, mukjizat sepanjang zaman.