30 November 2006

Nilai Dunya.

Bismillahirrahmanirrahim


Sesungguhnya dunia itu merupakan negeri perantauan. Dan bukan negeri terabadi. Adam a.s diturunkan dari syurga ke dunia, kerana siksaan. Maka, takutilah dunia itu.

Sesungguhnya pembekalan di dunia itu bila-bila masa sahaja bakal lenyap binasa. Kekayaan di dunia itu adalah kemiskinannya. Dunia itu mempunyai sejarah pembunuhan.

Dunia itu menghina orang yang memuliakannya. Mengfakirkan orang yang mengumpulkannya. Ia seperti racun yang dimakan oleh orang yang tidak mengenalnya. Di dalamnya ada kematiannya.

Hendaklah engkau menghadapi dunia itu seperti orang yang mengubati lukanya. Ia menjaga yang sedikit, kerana takut terhadap yang tidak disukainya pada masa yang panjang. Ia bersabar atas pahitnya ubat, kerana takut lamanya penyakit.

Awaslah akan negeri ini. Yang menyalahi janji. Yang menipu. Yang menyesatkan. Yang menghiasi penipuannya. Yang menjadikan hal-hal yang ada sekarang berupa angan-angannya. Yang mencipta masa depan dengan perkataannya. Dan yang memfitnah dengan tipu dayanya.

Dunia itu laksana pengantin puteri yang datang kepada suaminya. Semua mata memandang kepadanya. Semua hati tertarik kepadanya. Semua jiwa asyik masyuk dengannya. Lalu ia tertipu dan derhaka. Dan lupa akan tempat kembalinya.

Sesungguhnya telah datang dunia itu dari Allah Azza wa Jalla, sebagai pemberi peringatan. Maka tiadalah dunia itu mempunyai nilai pada sisi Allah yang Maha Agung. Dan DIA tidak memandang dunia itu, semenjak dijadikanNya. Dan telah ditunjukkan kunci-kunci dan gudang-gudang dunia kepada Nabi Muhammad SAW. Namun, baginda enggan menerimanya.