31 December 2006

Lestari Cinta.

Bismillahirrahmanirrahim
Hari terakhir di kalendar 2006. Bersamaan munculnya mentari indah 10 Zulhijjah di ufuk timur. Merah jingga cerah mewarnai langit biru putih. Makhluk ALLAH yang satu itu tetap setia dengan tugasnya. Melontarkan cahaya hangat kepanasan ke segenap maya pada. Menghidupkan masa. Memberi makna baru pada manusia yang mahu mengambil erti pada hari.

Hari terakhir. 10 Zulhijjah ini. Rakaman satu peristiwa agung terabadi di lembaran sejarah kemanusiaan. Melukis makna pengorbanan. Dan erti kesetiaan agung pada makna percintaan. Dan definisi sebuah pengorbanan. Melestarikan cinta. Pada hakikat yang sebenar-benarnya.

Ada kisah air mata. Berlinangan kesedihan demi sebuah pengorbanan. Ada peringatan di sana. Pada bicara dua insan. Kedua-duanya pada ukiran makna ketaatan.

" Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata; 'Hai anakku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu?'
[QS, As-Shaaffaat 37:102]

Bicara dua manusia. Ayahanda yang bahagia dengan kurniaan si anakanda bakal mewarisi tugas kenabian, menyambung perjuangan membawa agama Allah Taala. Ayahanda yang mengerti makna wahyu perintah Ilahi.
Cinta kepada Ilahi, takkan sekali-kali berlaku tanpa mengorbankan cinta manusia. Dan sifatNYA yang Maha Mengetahui. Ibrahim itu telah cinta kepada anaknya. Dan DIA sekali-kali tidak akan sudi berkongsi dua cinta dalam satu bejana. Kerana DIA, sifat keagungan mengatasi segala-galanya.

" Dia (Ismail) menjawab; "Hai ayahandaku! Kerjakanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar."
[QS As-Shaaffaat,37:102]

Lafaz seorang anak yang memahami nilai-nilai cinta. Cinta kepada Allahu Robbi. Taat kepada ayah bonda. Lafaz seorang manusia yang sedari kecilnya dididik dengan tarbiyah rabbani. Dan tidak akan mampu anak kecil itu untuk berbicara hebat sebegitu rupa. Melainkan terdidik atasnya daripada hasil asuhan tangan seorang ibu yang hebat jua. Seorang wanita yang memahami nilai-nilai cinta.

Dan rakaman kisah ini berterusan berulang, menjadi hidangan ruhani setiap tahun. Pengajaran dari keluarga teragung. Dari lembaran mukjizat terunggul zaman berzaman.
Dikhabarkan tentang makna pengorbanan yang agung. Namun suratan kisah itu ada erti ketaatan kepada kedua ayah bonda. Ada hikmah bicara seorang ayah yang memahami haq akal kedewasaan dan perasaan seorang anak. Ada hikmah tauladan terindah dari kehidupan sebuah keluarga rabbani. Buat tafsiran kita yang terkemudian. Agar diambil darinya suri pengajaran buat diterjemahkan dalam hari-hari mendatang.

Dan tiada yang terindah dari makna lestari cinta. Pengorbanan. Kerana nilai pengorbanan itulah yang memberi makna pada hakikat cinta. Dan menggapai kemuliaan pada hidup abadi di sana.
Tuhan,
Tunjuki diri ini jalan menuju cinta MU.