Ingin berlari laju. Selaju yang mampu. Sebagaimana waktu-waktu yang dahulu. Waktu-waktu yang indah. Waktu-waktu langkah seiringan teman-teman yang begitu memahami, yang begitu menyayangi. Waktu-waktu membina diri untuk membawa kalam Rabbani.
Namun hari ini. Langkah banyak kali tersadung batu-batuan di jalanan. Langkah banyak kali terpijak duri-duri berbisa. Dan kerap kali, langkah lansung terhenti. Dan tika itu, tiada lagi teman-teman seiringan. Tiada lagi lagu-lagu kasih-sayang, atas dasar sebuah persahabatan.Hari ini. Dan semalam. Ada dua rasa yang berbeza. Ada dua kesedaran yang menyinggah kamar di sudut terdalam. Begitu indahnya sunnah DIA, Robbul Ikram.
Semalam. Rupa-rupanya Kita tidak pernah berlari. Kita baru meniarap, merangkak dan belajar bertatih. Meniarap entah berapa puluh kali. Merangkak entah berapa lama, sehingga kuat kedua lutut dan tangan untuk menampung berat kita. Dan bertatih. Dan terjatuh. Dan bangkit lagi. Semuanya mengajar kita erti berusaha.
Hari ini. Rupa-rupanya kita masih bertatih lagi. Dan kerap kali terjatuh dalam tujuan menjadi yang sempurna. Kita tidak pernah berlari sebenarnya. Kerana itu adalah untuk satu tempoh masa yang lain. Yang ada dalam perkadaran DIA. Yang termaktub dalam kitab NYA. Yang kita tidak pasti bila. Dan di sanalah ada hikmah untuk kita terus berusaha.
Hari ini. Langkah kaki masih belum sempurna. Dalam mahu mencari kekuatan untuk berdiri dengan kedua kaki, seringkali jatuh terduduk. Seringkali tersepak oleh halangan-halangan di jalanan. Dan itu bukan bererti kita harus berhenti. Kerana mereka yang berputus asa dengan sedikit ujian ini, selama-lamanya akan merasa rugi.
Kerana. Inilah jalan pilihan.
[QS Ali Imran 3:31]
Seruan itu pada jalan pilihan Muhammad bin Abdullah. Seruan itu pada jalan para Nabi, sahabat-sahabat dan para syuhada. Jalan manusia-manusia yang mahu menjulang syariat Tuhan di atas muka bumi. Jalan para khalifah yang memahami hakikat dirinya. Jalan yang dipilih dan terpilih.
Teringat kata-kata seorang susuk yang dikagumi. Percayalah, jalan ini bukan jalan pilihan. Na'am. Ini adalah kewajipan. Bagi sesiapa yang sedar dirinya manusia!
Tuhan,
Perkuatkan langkah kaki ini.
Perteguhkan ia atas jalan ini.
Dan bantu ia untuk berlari.