Kalimah paling ihsan, dari lafaz lisan manusia teragung. Abadi kalimah ini dalam lembaran mukjizat Nabawi. Lembaran Al Quranul Karim.
Wahyu Ilahi yang terakam dalam surah ini memberikan makna yang tersendiri kepada hatinya. Lebih utama, inilah surah pertama yang dikhatamkan di depan lelaki itu. Seusai ikatan istimewa, yang menghalalkan segala-galanya. Dan setiap kali berulang membaca wahyu ini, hatinya kembali menghangat. Mengingati segala pengorbanan dari lelaki itu. Dan pengorbanan terbesar darinya. Segala kesabaran yang telah dihadiahkan.
Fasobrun Jameel. Maka sesungguhnya kesabaran yang baik itu adalah kesabaranku.
Dia kerap kali terlupa bagaimana hatinya mula terpaut pada lelaki itu. Terlupa, bagaimana dia jatuh cinta.
Yang pastinya, setiap kali ada kemusykilan-kemusykilan seputar addeen dan fikrah, pasti lelaki itu yang dicarinya. Samada lewat maya atau telefon, dia pasti menemukan jawapan yang paling mantap. Dan lelaki itu tidak pernah-pernah jemu. Tidak pernah menolak soalan yang diutarakan, walau dalam apa jua keadaan. Dan dia melihat bukti cinta dari pandangan zahir diri.
Dan setiap kali itu juga, dia kembali jatuh cinta.
Juga, dia sentiasa sibuk. Samada dengan kerjaya dunia atau kerja azali, jarang dia menemukan rehat dan tenang. Namun, Allah itu Al Ghani. Menyiapkan seorang lelaki untuk memberikan seribu ketenangan di celah-celah kesibukan duniawi. Seusai urusan luar, dia kembali ke istana singgahan, menemukan lelaki itu. Menghamburkan segala resah, gembira, khabar-khabar ceria kepada sepasang telinga, sepasang mata. Dan lelaki itu diam mendengar butiran ceritanya. Sehingga dia usai bercerita. Dan benar. Lelaki itu tidak pernah-pernah jemu.
Dan setiap kali itu juga, dia kembali jatuh cinta.
Fasobrun Jameel. Maka sesungguhnya kesabaran yang baik itu adalah kesabaranku.
Entah berapa ratus kali dia melukai hati lelaki itu. Samada melalui lisan atau amal perbuatan. Na`am, dia masih muda. Kerap kali gelojak rasa mudanya membunuh suara hati dan akalnya. Tetapi lelaki itu tetap setia di situ. Tetap melayaninya sebagaimana seorang pemaisuri. Dan dia malu sendiri. Mengingati segala laku mazmumah pada suami yang begitu hafiz.
Dan percayalah. Setiap kali itu juga, dia kembali jatuh cinta.
Yang terutama, dia menemukan belahan jiwanya. Sedari usia remaja, dia meminta kepada Yang Satu, agar dipertemukan dengan seorang lelaki yang begitu dan begini. Dan permintaan itu berubah seiring peredaran waktu. Seiring kefahamannya pada jalan ini. Terakhir doanya terakam pada sebuah lafaz keinsafan. Walau siapa pun yang ditaqdirkan NYA, biar kami menyempurnakan ad deen kami dengan kerja AZALI.
Pada malam ini, jiwanya kembali menghangat dengan segala rasa cinta.
Pada kiriman wahyu Ilahi, ada peringatan yang mendasar. Kembali mengingatkan dirinya dan lelaki itu untuk bekerja. Dia mahu terus hidup dengan dzilal Nya. Dia mahu menjadi kecemburuan para bidadari. Dia mahu menjadi penghulu istana yang dijanjikan Tuhannya. Bersama lelaki itu.
Katakanlah:
"Inilah jalanku; Aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada ALLAH dengan hujjah yang nyata. Maha Suci ALLAH, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik."
[QS Yusuf,12:108]
"Inilah jalanku; Aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada ALLAH dengan hujjah yang nyata. Maha Suci ALLAH, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik."
[QS Yusuf,12:108]
Lelaki itu. Belahan jiwanya. Dihadiahkan oleh Robbul Ikram, Sebaik-baik Pemberi. Dan semoga, hadiah ini berkekalan. Hingga kembali bertemu Sang Pencinta Teragung. Yang telah mengurniakan cinta ke dalam hati-hati hamba NYA. Dan Yang telah mengajari akan hakikat sabar ini.