20 February 2007

Makna Pada Faham.

Bismillahirrahmanirrahim

Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepada kamu: "Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah" kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit.
[QS 9:38]

------------------------------

Wahyu terindah dari lembaran mukjizat zaman itu bergema memenuhi ruang dewan muzakarah. Memberi peringatan terdalam kepada jiwa-jiwa makhluk yang memahami tuntutan hidupnya pada memberi dan berbakti. Membuka hati-hati ahsani taqween, untuk terus menjalankan tanggungjawab dan janji sedari Azali. Janji yang satu. Janji dengan DIA. Untuk terus mentaati NYA.

Wahyu itu melampiaskan rasa gementar dalam diri, adakah telah terlaksana kerja-kerja dan amanah itu semuanya? Atau masih bertatih mencari kekuatan. Sedangkan hakikat kekuatan dan keberanian untuk membawa panji ini adalah dari sisiNYA. Dan seharusnya kita ini sentiasa berusaha membina diri untuk menjadi yang selayaknya. Untuk menerima kemenangan dari DIA.

Wahyu itu mengkhabarkan kepada kita, adakah telah cukup DUNIA ini dan segala isinya buat manusia? Sedangkan yang tersimpan di sisi NYA itu adalah lebih baik, lebih sempurna. Dan untuk menggapai kesempurnaan itu, perlu ada kesedaran yang jelas. Yakni, berangkatlah, walau senang, susah atau terpaksa.

Untuk apa keberangkatan itu? Untuk apa? Untuk menundukkan manusia seluruhnya kepada Robb yang Maha Kaya. Untuk membebaskan manusia seluruhnya dari perhambaan manusia kepada rasa merdeka yang sebenar-benarnya. Untuk mengeluarkan manusia dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat jua.

Itu kata-kata insan yang memiliki tasawwur Islam yang tinggi. Seorang panglima Muslim ketika berdepan dengan panglima musuh yang memiliki kekuatan berganda-ganda. Namun, dia tidak pernah takut. Dia memahami. Tuntutan dan keberanian pada jalan ini.

-----------------------------------------

Susuk itu tiba-tiba sebak. Suaranya tenggelam timbul dek rasa keinsafan dari kalam wahyu Tuhan. Dan dewan senyap sunyi, bertafakur pada pengertian yang ingin disampaikan. Dan semuanya memahami hasrat yang terpancar dari lisan susuk tegar itu.

Dan diri kembali bersyukur kepada Yang Mengetahui. Dikurniakan sahabat-sahabat yang sentiasa memperingatkan diri tentang kerja ini. Kewajipan yang kini tidak lagi beban. Bahkan menjadi prinsip hidup dan impian utama untuk digapai sebelum menutup mata. Kerana kemuliaan itu bukan pada pangkat dan nama. Bukan pada harta dan dunia.

Namun, mulia itu pada segala pengorbanan untuk menjadi muttaqin. Mulia itu di sisi Robbul Muhaimeen.

ALLAH,
Bantu diri ini.
Dan perkuatkan kami.
Dengan hidayah dan taufik MU.