15 February 2007

Rupanya DIA Masih Ingat.

Bismillahirrahmanirrahim

" Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap tiap sesuatu."
[QS Al Hadid, 57:22]

Demam. Dan kisahnya.

-----------------------

Februari 2007. Melangkah keluar dari istana kediaman, disapa panas membahang. Cerah matahari memancarkan panas, memamah wajah tatkala bersiap menuju daerah perkantoran. Benar-benar panasnya lain macam. Tanah berpulau di hujung utara semenanjung terbakar dengan iklim dunia yang berubah. Benar-benar panas ini, hati mengetus sendiri.

Melangkah masuk ke kantor kerja, sejuk nyaman pendingin udara menyapa wajah dan badan. Alhamdulillah, sejuk dingin ini memberi keselesaan untuk bekerja, demi meruntun bahagian-bahagian dunia. Dan menjelang tengah hari, tangan mulai mencari jaket tebal syarikat. Buat dipakai menahan kesejukan yang makin mencengkam hingga tulang hitam. Aduh, sejuk banget ini !!

Dan hati mulai berbisik sendiri. Panas dan sejuk yang saling bertemu dalam 24 jam ini benar-benar membawa alahan pada metabolisma badan. Dan tidak mustahil esok lusa pertahanan diri tidak akan mampu terus diserang perubahan suhu luaran begini.

Dan cepat-cepat kembali kepada DIA. Moga diberikan kesihatan terus menerus untuk berkerja. Namun, tidak dapat lari dari satu hakikat Rabbani. Sakit itu ada hikmahnya.

---------------------------

Na'am. Baru beransur sihat sehari dua. Dengan nikmat sihat tubuh badan hampir sepanjang tahun. Alhamdulillah. Diberikan ujian sakit demam lemah longlai tubuh badan hampir dua minggu. Dan itu juga manusia masih berkeluh kesah dengan sedikit nikmat yang diambil oleh pemilikNYA.

Menjaga hati. Jangan sampai mempertikaikan segala ujian dan taqdirNYA atas diri. Apabila diuji dengan sakit-sakit begini, harus kembali merenung diri. Bermuhasabah memeriksa hati. Segala sakit demam berujian bernilai menghapuskan segala dosa dengan Tuhan.

ALLAH,
Masih Engkau sayangi hamba yang banyak dosa ini.


Mencari tauladan dari kisah insan-insan agung sepanjang zaman.

Khalifah itu menangis hingga berbasahan janggutnya, kerana dikurniakan sihat sepanjang masa. Menangis pilu berlagu sendu, takut-takut bertimbun dosa-dosa hati kerana terleka lalai dengan sihatnya diri. Menangis penyesalan ikhlas dari lubuk hati terdalam. Biarlah sakit berturutan, kembali ingat Tuhan. Dari sihat sepanjang waktu hingga lupa pada DIA, Robbul Rahman.

Dari lisan manusia agung, Muhammad bin Abdullah,

Dari Jabir bin Abdullah (r.a);
"Janganlah kamu mencela sakit demam kerana ia menghapuskan kesalahan-kesalahan Bani Adam sebagaimana tungku api yang melenyapkan karat besi"
[HR Muslim]

Dan atas setiap taqdir berujian sakit demam itu, perlu sentiasa bersyukur. Kerana DIA yang Maha Penyayang, masih mengingati kita. Hamba NYA yang sentiasa leka terlupa pada amanah ibadah dan khilafah.

Dan apabila DIA menyapa, ingatlah, itu adalah tanda DIA masih menyayangi kita. Rupa-rupanya DIA masih ingat pada seorang makhluk hina. Semoga kasih sayang dan ingatan itu akan terus terpelihara. Hingga bertemu kembali pada satu waktu yang telah ditetapkan dahulu.

Sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNya kami akan kembali.

ALLAH,
Berilah pahala kepadaku dan gantilah untukku dengan yang lebih baik (dari musibahku)