
Ihdina. Tunjukkan kami.
Itu doanya. Saban hari, saban waktu. Meminta pada Robbul Hayyun. Hanya dia terlupa, sejak bila kalimah itu menjadi keramat buatnya. Ihdina shiroth al-mustaqeem.
Hanya yang diingati, hari-hari pada 12 tahun yang dulu. Hari-hari itu, pertama kali dia mula diajar cara mendirikan solat hajat. Hari-hari pertama membelek buku mencari khusyuk pada Imad. Hari-hari pertama dikurniakan kekuatan untuk menghafaz makna dari lembaran bertulisan jawi, buku kesayangan moyangnya.
Ihdina. Tunjukkan kami.
Itu doanya. Sedari mampu menanam terjemahan surah pembukaan Al Quran itu di dalam hati. Sedari memahami pencarian pada kekhusyukan dengan Tuhan. Dan dia jadi terlupa, entah berapa puluh, atau ratus, atau ribuan doanya yang telah dimakbulkan. Dari sekecil-kecil hajat, kepada sebesar-besar impian, untuk menggapai bintang.
Ihdina. Tunjukkan kami.
Itu doanya. Sejak usia itu. Dalam pertemuan hariannya dengan Robbul Halim, dia sentiasa melantunkan lafaz yang satu. Memohon apa sahaja bantuan, kekuatan, keberanian dan kejayaan. Meminta apa sahaja hajat dan mimpi panjang. Memanjatkan segala rasa keinginan pada kebaikan-kebaikan yang ditelusuri dalam kehidupan.
Ihdina. Tunjukkan kami.
Dan sehingga kini.
Lestarikan makna meminta. Mohon hanya untuk yang terbaik disisi NYA. Kerana dia mengerti. Asma Tuhannya yang Maha Mendengar segala resa rasa bisikan hati.
Kalimah teragung.
Semoga diberikan petunjuk hidayah untuk langkah-langkah seterusnya. Semoga dikurniakan inayah untuk berdepan ujian kemanusiaan. Semoga terus dipandu untuk berada atas jalan yang lurus. Semoga terus tetap dan teguh. Di bawah dzilal NYA.
Iyyaka na'budu wa iyyaka nashta'in.
Ihdina shiroth al mustaqeem.
Tunjukkan kami jalan yang lurus.
Bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai.
Dan bukan jalan orang-orang yang sesat.