28 Ramadhan 1428H. Harlesden. Awal musim luruh yang sempurna.Dunia memiliki seribu warnanya yang tersendiri. Hujung langit benua utara telah memercikkan warna jingga. Angin membawa dingin kepada petang yang sangat indah. Daun-daun kuning merah paine berguguran, menyambut kedatangan semilir yang bertiup perlahan.
Di tanah ini. Dan belahan jiwanya. Lelaki itu amat erat genggaman tangannya. Dia tersenyum memandang dunia yang tersergam. Mendongak langit senja yang mewarnai dunia kala ini. Ada sekelumit sedih yang bertandang di lubuk hati. Ah! Senja ini telah menyapa. Dan tetamu agung itu bakal berangkat kembali kepada pemiliknya, Robbul 'Asr.
SubhanalLah wal HamdulilLah. Segala puji bagiNYA, Pemilik langit dan bumi, dan pemilik segala isi di antara kedua-duanya. Yang masih memberi luang bernafas hingga saat ini. Yang masih mengizinkan menjejak amal-amal. Yang masih mengurniakan segala nikmat buat al hamba. Yang memelihara hati ini untuk terus thabit pada jalanNYA.
Ramadhan bakal berlalu. 30 hari yang lalu, tetamu itu datang mengetuk pintu rumahnya. Membawa seribu satu penghormatan, rahmah dan keampunan. Membawa ganjaran sebesar-besarnya kepada mereka yang mahu beramal. Membawa peluang membaiki diri kepada mereka yang mahu bermujahadah. Namun, sekelip mata, hari-hari agung itu telah berlalu. Dan tetamu itu kini entah bila bakal singgah lagi. Dia tidak tahu.
30 hari dia mencari. Dalam perjalanan lembaran waktu yang dipinjamkan Robbul Jalil. Mencari keampunan dariNYA, yang seluas langit dan bumi. Mencari keredhaan dariNYA, yang disimpan untuk makhluk-makhluk terpilih. Mencari kasih sayangNYA, andai masih ada buat hamba yang banyak berdosa.
30 hari dia mencari. Mencari satu rasa yang dulu pernah ada. Namun kini menghilang entah ke mana. Rasa rindu. Rasa cinta. Pada pengibadatan yang sempurna ke hadrat Allah Al Akbar. Rasa rindu cinta pada pertemuan-pertemuan antara hati yang memahami makna menjadi khalifah Allah Al Alim. Rasa rindu cinta pada mencari ketenangan dalam rumah-rumah Allah Al Ghani. Dia mencari. 30 hari ini.
Namun. 30 hari ini. Ada satu rasa yang lain. Ramadhan yang membawa seribu satu kenangan dan khabar buat dia. Ramadhan kali ini. Benar-benar membawa perbezaan kepada jiwa al hamba. Ada yang berbeda dalam Ramadhan 1428.
Ramadhan ini. 30 hari kebelakangan dia menyaksikan bukan sedikit makhluk yang kembali kepada penciptaNYA. Hampir setiap hari, ada sahaja khabar yang diterima. Walau dia lansung tidak pernah mengenali jiwa-jiwa mereka yang telah dipanggil mengadap Ar Rahman. Namun, meneliti bait-bait khabar kematian dan takziah itu menimbulkan satu rasa dan satu keinsafan pada dia. Makna apakah ini.
Ramadhan ini. Ada yang berbeda.
Tatkala disampaikan berita dari tanah bonda kepada lelaki itu, senyum menghiasi wajahnya. Lelaki itu;
" Telah tiba giliran mereka. Nanti tiba pula giliran kita!"
Nanti tiba giliran kita. Kata-kata lelaki itu menyedarkan dia. Pada rahsia alam sana yang hanya diketahui oleh pemilik Al Masturaa. Pada lima perkara.
Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat; dan Dia-lah Yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya besok. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. [QS Luqman 31:34)]
Ya benar. Maut adalah sesuatu yang pasti.
Ramadhan ini dia menyaksikan fitrah itu dibuktikan oleh Al Haq. Walau sebelum ini dia mengetahui, namun kali ini dia telah menyedari. Tentang satu. Tentang mati. Tentang bekal yang dibawa ke alam abadi. Kematian pasti kan tiba. Menjemput setiap yang bernyawa.
30 hari ini. Ada rasa sedar yang hadir. Dan rasa itu. Alangkah bahgianya yang telah dipilih menjadi tetamuNYA. Pada Ramadhan yang mulia.
Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan". [QS al-Jumu’ah 62:8]