" Bagaimana hakikatnya cinta seorang isteri? "
Lelaki itu merenung matanya. Menantikan jawapan. Dan buat kesekian kali, dia terpana sendiri. Persis apa soalan itu. Lelaki dan belahan jiwanya, tersenyum. Dia amat suka menguji.
Dia diam merenung siling. Lama. Berfikir. Bagaimana jawabannya nanti. Untuk menjelaskan satu faham yang ada dalam dirinya. Dan faham itu sendiri telah terbina sejak sebelum pernikahan ini. Sejak sebelum dia menyiapkan diri untuk menjadi suri hati.
Hakikat cinta seorang isteri.
Merah. Membara dan menggelegak. Persis itu.Hijau. Menceriakan. Menenangkan. Persis itu.
Putih. Suci. Persis itu.
Dia percaya ada warna pada setiap rasa yang wujud dalam diri manusia. Dan cinta itu warnanya merah. Membara memekar dalam sudut hati terdalam. Menjelma dalam agresif amal yang membantu melonjakkan potensi suami ke peringkat yang tertinggi. Membentuk amal sendiri yang menjadi tiang penyokong pundak tanggungjawab suami. Lantas membangkitkan ghairah untuk berkerja. Mengukuhkan ia.
Kadang kala cinta itu hijau. Menenangkan mata yang memandang. Menyegarkan hati yang merasa. Membahagiakan pemilik jiwa yang memilikinya. Kerana dia menyedari tugas-tugas dan ayatul Quran yang telah diamanahkan itu amat berat sekali. Kerana dia menginginkan belahan jiwa itu tidak lupa pada janji sejak azali. Kerana dia mahukan lelaki itu bekerja dengan sepenuh jiwa raga. Sebagaimana Khadijah pernah bersuara;
" Bangkitlah. Kerana engkau adalah pilihanNYA! "
Kadang kala cinta itu putih. Suci, tulus dan tersendiri. Warna-warna cinta yang dimiliki oleh seorang isteri. Yang memahami dirinya hanyalah seorang hamba ciptaan. Kepada Yang Mencipta. Diciptakan untuk berbakti, kepada makhluk yang ciptaannya sama sebagaimana dirinya sendiri.
Kebaktian yang persis apa.
Dan di antara ayat-ayatNYA, bahawa DIA menciptakan isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu merasa senang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) mawaddah (kasih sayang) dan rahmah (belas kasihan). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan bagi orang-orang yang berfikir.
[QS arRum 30:21]
Itulah kebaktian. Diciptakan isteri itu sebagai azzauj, untuk menenangkan, memesrai jiwa lelaki yang telah dipertemukan olehNYA dalam mithaqan ghaliza [satu janji]. Diciptakan di antaranya dua rasa, yakni mawaddah dan rahmah. Mawaddah untuk rumahtangga. Dan rahmah untuk masyarakat umumnya. Diciptakan dua rasa supaya sang isteri merelakan suaminya keluar menjalankan kerja. Merelakan suami membawa panji-panji Rabbani. Seikhlas hatinya. Supaya setiap hukum Tuhan itu terlaksana di bumi al fana' ini.
Dia mahu menjadi seperti itu. Hakikat cinta sebenarnya. Dia mahu bersuara sebagaimana Khadijah pernah mewasiatkan sakinah (ketenangan) itu. Dia mahu memiliki cinta Asma' bint Abu Bakar. Yang merelakan suami dan anaknya syahid di hujung pedang. Seperti cinta Latifah As Suri. Yang menghadiahkan suaminya untuk jihad fisabililLah. Namun, dia tahu. Dia tidaklah semulia itu. Dan dia tidak memiliki kekuatan mereka, pribadi-pribadi hebat sang srikandi.
Dia hanya ada jawapan. Dan jawapannya persis itu. Warna hakikat cinta seorang suri. Kepada seorang lelaki yang telah dihadiahkan ALLAH kepadanya. Dan dia mahu terus mengabdi diri sebagai zaujah [penenang hati] kepada lelaki pilihan Robbnya.
Ya Allah.
Bantu diri ini.
Untuk membantu dirinya.
Menjadi yang terbaik di sisiMU.
"..dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH. Sesungguhnya tiada sesiapa yang berputus asa dari rahmat ALLAH melainkan kaum yang kafir."
[QS Yusuf 12:12]