01 November 2007

Ad Dzilal Quran

Bismillahirrahmanirrahim

“Khuluqul quran!”

Itulah jawapan Saidatina Aisyah ra apabila para sahabah menanyakan kepada beliau tentang akhlaq baginda Rasulullah saw. Akhlaqnya adalah Al Quran. Dan itu adalah jawapan terbaik, yang paling tepat untuk menggambarkan sosok terunggul utusan Robbul ‘Alamin. Baginda melaksanakan setiap isi suruhan Tuhannya yang terkandung dalam Al Quran, meninggalkan setiap larangannya. Baginda mengimaninya, lantas merealisasikan apa yang menjadi tuntutan keimanan kepadanya.

Alif, Laam, Raa'. Inilah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan kepadamu ( wahai Muhammad) supaya kamu mengeluarkan manusia seluruhnya dari gelap-gelita kepada cahaya iman dengan izin Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.
[QS 14:1]

Dan begitulah generasi itu lahir, mentadbir dua pertiga dunia. Generasi yang menjadikan Al Quran itu sebagai sumber panduan kehidupan mereka. Mereka muslim, yang tunduk. Dan mukmin, yang mempercayai. Dan ketundukan itu hanya kepada Allah Robbul Jalil. Yang telah menyampaikan kalamNYA kepada hamba-hambaNYA, sebagai cahaya sumber kehidupan mereka.

Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Al-Quran) sebagai ruh dengan perintah Kami. Sebelumnya kamu tidak pernah mengetahui apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; tetapi Kami jadikan Al-Quran itu cahaya; Kami tunjuki dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami dan sesungguhnya engkau (Muhammad) adalah pemberi petunjuk ke jalan yang lurus.
[QS 42:52]

Generasi itu telah menguasai dunia. Generasi itu telah memisahkan jahiliah dari manusia. Generasi itu menjunjung Al Quran sebagai sumber segala perundangan dunia. Mereka mendekati Al Quran itu bukan hanya untuk membacanya, atau menghafaznya, atau semata-mata mencari penawarnya. Mereka tidak mendekatinya untuk menambah-nambah maklumat, atau sebagai hiburan penglipur lara.

Namun, didekati Al Quran itu kerana mereka mahu memahami agamanya. Mereka mahu mengetahui apakah isi kandungannya. Mereka membaca sebanyak sepuluh ayat, menghafalnya dan melaksanakannya. Mereka laksana askar, yang menerima setiap arahan untuk dilaksanakan. Kefahaman inilah yang menjadikan mereka sebagai generasi terbaik, tiada yang sama sebelumnya atau selepasnya.

Dan sesungguhnya Al-Quran itu memberikan kemuliaan dan peringatan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada kaummu. Dan kamu akan ditanya kelak (tentang isi kandungannya yang telah kamu amalkan).
[QS 43:44]


****************************************
Itu muqaddimahnya. Sedang menyiapkan artikel dan presentation berkenaan Interaksi Al Quran. As per request from him. Suami bakal berkuliah di Southampton lagi. Moga berkesempatan siap dalam dua hari ini. Allah, mohon dimudahkan segala-galanya.