Mengharap itu ertinya menginginkan. Mengingini segala yang senang-senang, mudah-mudah dan yang terbaik adalah fitrahnya manusia. Mengingini yang indah-indah, yang lansung mudah dicapai atau dihasilkan juga adalah kehendak insani. Mengingini sesuatu kerana sifat hawa nafsu yang ada dalam diri manusia itu sentiasa cenderung kepada duniawi.Mengharap itu juga bermakna mempercayakan seseorang. Percaya dengan sesungguhnya kerana mungkin ada signifikan kepada urusan-urusan kehidupan. Percaya untuk dia menyempurnakan sesuatu urusan atau kerja yang diamanahkan. Percaya tanpa berbelah bahagi semestinya. Pengharapan dan kepercayaan.
Dia juga dalam pengharapan yang tulus. Kepada Tuhan. Ada keinginan yang minta dikabulkan. Ada percaya yang minta disampaikan.
Hari ini mencatatkan dua bulan tepat. Dua bulan dia menunggu untuk satu keputusan yang bakal menentukan jalan kehidupan yang seterusnya. Satu keputusan yang vital, yang boleh memberikan dia petunjuk bagaimana mencipta corak langkah berikutnya. Dua bulan yang meresahkan. Menunggu supaya dapat diselesaikan segala harapan.
Dua bulan ini. Dia belajar erti sabar dan bertahan. Dia juga belajar erti mengharap dan sentiasa membina optimisma dalam keyakinan. Keyakinan akan sifatnya Tuhan itu As Soma' wal 'Adzim. Pasti DIA mendengar. Tuhan itu juga ar Rahman ar Rahim. Pasti DIA mengasihani.
Dua bulan ini. Dan untuk esok yang masih kelabu. Dia masih menunggu keputusan terbaik dari sisi Tuhan Robbul Jalil. Antara harapan dari sudut hati seorang insan kerdil..