" DIA lah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap; dan DIA menurunkan air(hujan) dari langit, lalu DIA menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki buatmu; Kerana itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui.
[QS 2:22]
Willesden Green. After the afternoon rain. 20 November 2006.
Dunia kembali berseri selepas hujan sebentar tadi. Dia sangat suka dengan wajah dunia selepas hujan. Apabila langit mulai mendung kelam, bayu mulai kuat berangin dan alam kelihatan pasrah menantikan. Dia juga sama menanti. Dan apabila rintik-rintik mulai melebat menimpa tanah yang kekeringan, dia memanjat syukur pada Ilahi. Hujan, titisan rahmah dari Tuhan Robbul Muhaimin.
Dunia yang kering kelabu kelihatannya kembali segar bersinar usai hujan. Seolah-olah dimekapkan semula. Dunia kelihatan sungguh menawan, menambat mata.
Hujan merupakan ar rahmah. Salah satu dari jutaan rahmah NYA kepada alam dan umat manusia. Yang menyuburkan tanah kering kontang. Yang mengairi sawah dan ladang-ladang. Yang melegakan orang-orang kehausan. Yang memberikan warna baru kepada dunia. Rahmah kesemua. Dari Tuhan Robb Ar Rahman.
Itu baru perihal hujan. Setitis demi setitis yang menyimbah ke bumi menjadi rahmah bagi makhluk-makhlukNYA. Juga boleh datang sebagai bala. Menjadi peringatan buat yang mahu mengambil teladan. Dan peringatan itu menjelma dalam pelbagai bentuk semestinya.
[QS 8:11]
Selepas memahami asbab nuzul ayat ini, hujan memberi makna baru dalam kamus hidupnya. Makna yang lebih signifikan. Yang pasti, pertolongan Allah itu akan sampai, walau gimana bentuk dan waktunya. Yang menyampaikan kepada menang dalam perjuangan yang panjang. Dan tanpa melupakan usaha-usaha manusia. Sebagaimana Ar Rasul keberatan untuk bangkit dari sujudnya di lembah Badr kerana mengharapkan pertolongan Robbul Jalal.
Hujan telah berhenti. Dan di sana ada makhluk yang mulai hidup...
Terima kasih. Tuhan.
p/s: Di luar jendela. Matahari juga kembali bersinar.