28 November 2008

Hari Ini dan Semalam [3]

Bismillahirrahmanirrahim
Ya Tuhan,
Untuk sedikit waktu yang tersisa ini,
Mohon dikurniakan dengan keberkatan.
Dan kebajikan yang berganda.
Untuk menyanggar syurga MU,
Yang dicipta sebagai pembalasan atas rahmat MU,
untuk hamba-hamba yang beramal.
Dalam kelam malam, dia cuba mencari kantuk yang tidak mahu datang. Ingatannya berbolak balik antara kewajipan yang telah disunnahkan. Dan antara keletihan seharian di pejabat yang hanya boleh diubati dengan rehat. Tetapi itulah. Tetap ada peringatan-peringatan dari sudut terdalam dirinya. Rehat bagi seorang da'i itu adalah apabila kakinya telah menjejak syurga. HANYA apabila kakinya telah menjejak syurga....
Sungguh, dia begitu merindukan saat-saat manis berukhuwwah dan berkerja. Air mata amat mudah bergenang lalu mengalir. Hati amat mudah tersentuh rindu dan kesal. Apabila ingatan kembali kepada satu waktu yang pernah dilaluinya dahulu. Di tanah sakura berbunga setahun sekali. Dan tangan-tangan sahabat yang menggapainya apabila dia cuba bangkit semula. Dan peringatan-peringatan yang sentiasa menyuburkan semangat dan ghirah pada agama. Dan wajah mulus murobbiahnya, yang tidak pernah gagal menggali rahsia gelap dirinya. Lalu menyampaikan nasihat-nasihat untuk dia menjadi insan yang lebih sempurna.
Dia juga merindukan pertemuan-pertemuan itu. Yang mampu mengembalikan energi untuk dia terus meniti kehidupan yang serba mencabar ini. Sungguh, di tanah ini dia jadi lumpuh. Dia begitu memerlukan sesuatu. Tetapi apakah itu? Dia sendiri jadi bingung dan tertanya-tanya. Dia tidak mahu menjadi sebahagian dari mereka. Yang menangguh-nangguh lalu terhenti terus.
Dinihari ini, dia meminta. Minta ditunjukkan apakah itu. Yang pernah ditemuinya dan kini hilang entah di mana. Apakah yang harus digali lagi? Apakah yang harus dilakukannya?
Dia. Terlupa. Menggali makna ikhlas.
Dan taubat.
Apakah telah diterima?