Jam kecil berwarna jingga itu menunjukkan angka 11. Matahari bersinar terang di luar jendela dan angin dari bukit tinggi belakang bangunan meniupkan dingin ke dalam rumahnya. Dingin benar. Selepas semingguan ini bumi tengah dibasahi dengan hujan. November bulan basah. Dan hari ini mentari kembali memancarkan cahayanya. Lantas menghangatkan dunia kecilnya.
11 pagi. Dia terjaga awal pagi tadi, menyambung ibadah kepada Robbul Salam. Dan baru juga selesai urusannya membersih istana kecil ini. Dilaksanakan urusan pembersihan ini sedikit demi sedikit lantaran keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan. Hampir seminggu kini melarat demam, sejak berhujan lewat Ahad lalu.
11 pagi. Sekejap benar waktu paginya singgah dan bakal berlalu. Dia mulai membasahkan anggota badan dengan berwudhu'. Ada tuntutan dari sunnah Rasulullah saw yang mahu dilaksanakan. Setelah hampir sepurnama ditinggalkan. Alasan? Dia tidak mahu memikirkan kelelahan dan kelalaian yang kerap kali mencuit rasa-rasa bersalah di lubuk terdalam. Walau kesibukan apa pun, menghadirkan diri ke hadrat Al Khaliq itu kan nikmat. Nikmat terkecil, untuk meraih pahala semestinya. Nikmat terbesar, solat itu kan dapat meraih jiwa yang tenang.
Dia menghamparkan sejadah baldu hijau itu. Badannya ditegakkan, bersedia. Kakinya diangkat, tapaknya menyentuh hujung sejadah. Hatinya mulai membisik zikir An Nas, moga dijauhkan dari bisikan-bisikan makhluq Al Khannas. Lidahnya mulai mengalun iqamah dan niat. Tangannya diangkat menegak dibawa ke kepala, hujung jemarinya mendekat ke telinga. Allahuakbar.... Dia mulai hanyut dalam pertemuan dengan Tuhannya.
Dan diakhirinya dengan salam.
Gadis di hujung sejadah. Ada air mata yang bergenang tatkala mengingatkan kasih sayang Tuhan. Walau kerap kali lupa dan leka, masih tetap ada peringatan. Walau kurang mengingatiNYA, masih tetap disambungkan dengan nikmat-nikmat yang bercukupan.
Gadis di hujung sejadah. Walau telah dicubanya untuk meraih khusyu', namun tetap sahaja ada ingatan-ingatan kecil yang hadir melintas di mindanya. Walau telah diusahakan untuk tunduk tadabburi ayat-ayat Ilahi, tetap sahaja ada cuit-cuit peringatan akan urusan yang belum terlaksana. Walau dihadirkan kalimah Ar Rahman, Ar Rahim di dalam hatinya, masih ada yang menarik-narik untuk mengingati Ad dunya.
Gadis di hujung sejadah. Di waktu dhuha itu, terduduk kaku mengingatkan sukarnya meraih kekhusyukan itu. Dhuha yang menyaksikan ada mata yang membening kebasahan mengingatkan alpa dan lalainya dia untuk detik yang sekejap cuma. Detik dhuha, yang menjadi saksi pembuktian sedeqah anggota badan manusia, bagi meraih keredhoanNYA.
Ya Allah, sukar sekali untuk mendapatkan MU.
Ya Allah, penat sekali untuk meraih ketenangan itu.
Ya Allah, bantulah daku.