31 October 2008

Semalam. Dan Hari Ini [2]

Bismillahirrahmanirrahim

Dari dalam kereta kelabu itu, dia merenung wajah langit. Langit siang mulai bersedia untuk bertemu kekasih malam. Remang senja. Kuning jingga mentari mulai melabuhkan diri. Salah satu dari makhluk alam yang sentiasa membuat hatinya senang dan ceria. Ya, selain ketenangan yang hadir di hati saat memandang wajah dunia seusai hujan dinihari.

" Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;
[QS 3:190]

Namun petang hari ini, hati itu tidak keruan. Resah dan belum menemukan ketenangan sedari hari-hari semalam. Dia mengalihkan pandangan dari langit jingga. Memandang sekeliling, pada kereta-kereta yang membawa tubuh-tubuh manusia. Wajah-wajah yang keletihan, memikirkan bebanan urusan dunia yang ditinggalkan di pejabat. Dan urusan rumahtangga yang perlu disambung seketika nanti. Dunia. Urusan yang takkan pernah surut. Dan nafsu yang takkan pernah tunduk.

Dan dia juga sama. Sama serupa sepertimana manusia-manusia itu. Menjalani kehidupan yang berputar laksana pusingan roda yang semata-mata untuk memenuhi isi perut mereka. Dan usaha-usaha meletakkan nilai hidup mereka pada mata-mata manusia. Kereta jenama apa? Rumah yang bagaimana? Kerjaya di tingkat status mana? Keluarga? Dan anak-anak? Dan.. dan.. dan lagi.

Dan itulah perkara yang makin meresahkan dirinya, memberatkan jiwanya. Membuatkan dia sering termenung panjang dalam masa-masa begini. Hari ini.

Semalam. Dia pernah menempuh roda kehidupan itu dalam beberapa waktu dulu. Dan dia tidak pernah menyukainya. Ada sesuatu yang hilang. Yang disedarinya, lantas digali dan dicari lewat taqdir-taqdir yang ditentukan Allah untuknya. Dan kali ini dia terpaksa menempuhnya sekali lagi. Terpaksa? Bukankah itu yang menjadi pilihannya? Atau mahu dipersalahkan taqdir itu sekali lagi? Hmmm... itu lembaran lalu. Ambil dan bina sempadan.

Dia yang memilih jalan ini. Itu sudah pasti. Dan andai Tuhan tidak merestui, pasti ada halangan-halangan yang merintangi pada hari ini. Makanya, harus terus bersyukur. Tetapi iya, menghayati hakikat syukur itu sendiri amat sukar. Tapi usaha juga. Jangan sampai lansung terlupa dan terhenti. Syukur lagi.

Dia. Walau kerjaya yang dipilihnya ketika ini hampir menggunakan seluruh tenaganya bagi membina status di mata manusia. Dia. Mohon ditunjukkan jalan dari Tuhan. Biarlah kudrat yang dicurahkan tika ini menjadi Ibadah di sisiNYA. Biarlah apa yang diperolehinya dari urusan dunia menjadi perkara yang Halal di sisiNYA. Biarlah pengorbanan-pengorbanan kecilnya ini menjadi buah-buah pahala Kebajikan di sisi Robbul Ikram. Biarlah yang sedikit itu dianggap Besar di sisi Robbul Salam.

Dan akan sentiasa adanya lestari peringatan-peringatan dari Robbul Arasy.

Hari ini. Ada sedikit reda yang hadir pada tali jantungnya yang memberat dengan urusan dunia. Ada secuit senyum yang terukir apabila hati membasah dengan syukur dan isytighfar. Ada bening yang berkumpul di hujung matanya. Mengingatkan Tuhan masih sayang.

Hari ini. Ada azam.

Tuhan,
Bangunkan aku ini malam.
Untuk sujud dan melontarkan permohonan.
Biarlah dunia ini Engkau palingkan jauh dari hatiku.
Dan biarlah akhirat itu menjadi raja yang tiada sekutu.

" Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang kebaikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya!"
[QS 3:200]

Tuhan,
Hari ini.
Dan seterusnya.
Sanggarkan hati ini dengan cinta MU.