Bismillahirrahmanirrahim
Bila mengangkat kedua tangan, menadah harapan kepada Tuhan, akan ada bisikan-bisikan yang muncul entah dari mana. Bisikan yang pelbagai. Adakah doa ini bakal dikabulkan? Adakah harapan ini akan dapat ditunaikan? Adakah bersesuaian dengan harapan? Adakah dekat atau masih panjang untuknya menunggu. Adakah...? Adakah...?
Seolah-olah meragui sesungguhnya setiap yang datang dari langit itu adalah yang TERBAIK untuknya.
Itulah keraguan yang mencelakakan. Kerana tuhan itu sifatnya Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Lagi sebaik-baik Hakim kepada makhluk manusia. Sudah pasti segala yang telah ditaqdirkan untuknya selama ini adalah yang terbaik. Jika dia tidak mahu redha, ketentuan Robb nya itu telah berlaku. Dan pena pun telah diangkat... Maka, sentiasalah menata qalbu, supaya hikmah-hikmah dalam setiap taqdir hidup ini mampu digali dan ditafsir dengan sempurna. Dan diiringi dengan doa itu usaha-usaha tangan manusia.
Supaya takkan bisa berputus harap dari rahmat Robbul Ikram [QS12:87].
Supaya sentiasa redha dan berlapang dada dengan keputusan langit [QS90;27-30]
Ya benar, redha itu amat payah sekali. Apatah lagi apabila realiti sering tidak menepati apa yang diminta selama ini. Namun, apabila mengenangkan begitu banyak nikmat dan peluang yang diberikan selama masih bernafas ini, seharusnya lebih malu dengan Allah Taala. Iman, Islam, kesenangan-kesenangan dalam hidup, urusan-urusan yang dimudahkan, pertemuan-pertemuan yang menghiburkan, rezeki-rezeki yang tidak pernah putus, pertolongan dari pintu yang tidak disangka-sangka dan sebagainya.
Ya, seharusnya lebih menata qalbu, lebih mensyukuri apa yang tidak pernah diminta tetapi dikurniakan DIA tanpa perkiraan atau balasan. Diangkat kedua tangan untuk ‘itu’, namun dikurniakanNYA ‘ini’ yang lebih berharga.
Ya. Sesungguhnya keredhaan itu ialah apabila kita menerima setiap ketentuan dariNYA tanpa menyoal kembali.