Bismillahirrahmanirrahim
Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar
Laa Ilaaha Illallaah walLaahu Akbar
Allahu Akbar wa Lillaahilhamd
Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu AkbarLaa Ilaaha Illallaah walLaahu Akbar
Allahu Akbar wa Lillaahilhamd
Eid Mubarak. TaqabalLahu minna wa minkum. Minal 'aidin wal fa'idzin. Semoga telah diterima setiap amal-amal kita. Dan dikembalikan kita kepada fitrah dan kejayaan yang sempurna.
Tetamu agung itu telah berangkat lewat mentari bertukar warna di ufuk barat. 30 hari dia bertetangga, membawa segala hadiah istimewa dari Penguasa Arasy. 30 hari dia menawarkan maghfirah dari Tuhan yang begitu Raheem dan Rahman. 30 hari dia memayungi anak-anak Adam dengan barakah dan rahmah yang tiada sempadan. 30 hari ini dia mengirimkan surat-surat cinta dari Al Khaliq untuk makhluq yang mahu membuka dan membacanya. Sungguh, Robb nya begitu menginginkan agar setiap insan ini menjadi calon ar Rayyan. Bagi sesiapa yang dipilihNya, sungguh mereka telah mendapat kejayaan yang sempurna.
30 hari mencari cinta. Moga hari ini dia dan mereka mendapatkannya. Dan itulah makna 'Aidul Fitri, kembali kepada fitrahnya. Laksana kain kafan berwarna putih mulus, seputih itu warna insan-insan yang telah berjaya mendapatkan keampunan dari Robbul Ghaffar. Fitrah insani, menyukai kebaikan-kebaikan dan menolak (resah gelisah) pada fasad dan maksiat. Fitrah insani, kembali kepada rasa mahu berTuhan dan sedar diri sebagai hamba hina dina. 30 hari mencari cinta dan mendapatkan semula fitrah manusiawi. Untuk bekalan mendepani hari-hari esok, lusa seterusnya. 30 hari yang sempurna. Doanya.
1 Syawal ini. Pagi yang indah dan berwarna biru. Dia mampu tersenyum. Dan gembira. Merelakan tetamu Ramadhan berangkat pergi. Untuk dia kembali setahun lagi. Dan apabila saat itu tiba, moga dia telah bersedia untuk merebut cinta Tuhannya. Lebih banyak. Lebih bertenaga.
Wajahnya mendongak memandang matahari seusia dhuha. Sangat cantik. Dipayungi langit serba membiru. Hatinya bertasbih. Seiring tasbih dan takbir pada pagi mulia ini. Seiring gerak langkah kaki menuju lapangan jemaah manusia. Untuk meraikan kemenangan ini. Eid Mubarak.