Bismillahirrahmanirrahim

Jangan sesekali meratapi ujian dan menyalahkan kuasa langit. Jangan sesekali sombong bongkak tidak mahu tunduk merendah darjat. Jangan sesekali berputus asa dari rahmah Allah Taala. Kerana itu adalah sifat orang-orang kafir, yang dikunci mati hati mereka..
Jangan sesekali meratapi ujian dan menyalahkan kuasa langit. Jangan sesekali sombong bongkak tidak mahu tunduk merendah darjat. Jangan sesekali berputus asa dari rahmah Allah Taala. Kerana itu adalah sifat orang-orang kafir, yang dikunci mati hati mereka..
Itu antara pesanan yang dititipkan lewat surah Yusuf, bilangan ke-12 dalam mushaf Qurani. Pesanan agung dari Robbul Kareem. Jangan sesekali berputus asa. Kerana kasih sayangNYA itu mendahului kemurkaanNYA.
Ya. Kerana kerap kali dalam mendepani ujian-ujian hidup, kita mudah melatah mencurahkan amarah kepada Segala Maha. Kematian, kesakitan, kemiskinan, kekurangan anggota menjadi bebanan yang tidak semua jiwa merdeka ini ampuh untuk menanggungnya. Realiti yang hadir tidak seiring doa dan harapan, senantiasa mewujudkan rasa tidak senang di dalam dada. Kecewa dan hazan menyebabkan kita mudah menutup mata terhadap hikmah-hikmah di sebalik tabir mehnah kehidupan. Kerap berputus asa dengan nikmat dari langit.
Namun, Tuhan yang Penyayang itu sentiasa mendengar dan menjawab. Jangan sesekali berputus asa. Kerana itu adalah sifat hamba yang tercela. Merintih dan sedih itu fitrah, kerana kita ini manusia. Namun Tuhan dengan Segala Asma’nya telah memberikan jawapan. Jangan bersedih, kerana DIA sentiasa memerhatikan kita dengan pandangan raheemNYA. DIA; adalah mengikut persangkaan hambaNYA terhadap DIA. DIA; tidak pernah meminta; malah memberi dengan begitu banyak sekali. Terlalu banyak. Untuk manusia dengan segala sifat insannya.
Ya Allah, pandulah hati ini untuk selalu berprasangka baik terhadapMU.
Di sini tempatnya meluahkan rasa segala. Terhadap apa yang terbuku di dasar hati, dia cuba untuk menzahirkan melalui penulisan. Bebanan perasaan dan amarah yang kerap kali menewaskan akal yang rasional. Hanya kekadang kegalauan rasa itu tidak mampu dicurahkan sewenang-wenangnya di sini. Dan dia menyimpannya untuk Yang Maha Mendengar Segala.
Dia sentiasa merasakan keseorangan dalam perjalanan ini. Sedaya upaya dia tidak mahu menyusahkan sesiapa, cukuplah Tuhan sebagai peneman dalam musafir ini. Hidup sendiri, mati sendiri. Hingga dia tertewas, kerana dia telah terlupa. Rupanya fitrah untuk mempunyai teman itu telah dilahirkan sejak wujudnya manusia pertama. Maka, sekali lagi ujian itu dikirimkan. Untuk dia berfikir, merenung dan membuat pilihan.
Ya Allah, sampaikan kami kepada hidayah dan redhoMu.
Dan dia pernah terfikir, mungkin kali ini dia harus berangkat sekali lagi. Seperti masa lalu. Pergi jauh di mana tiada sesiapa yang mengenalinya. Untuk memulakan semula suatu kehidupan yang baru, jauh dari mulut-mulut mereka yang tidak bersimpati.
Namun mengenangkan perjuangan yang masih belum sempurna di sini, dia perlu bertahan. Benih-benih itu baru mula mengeluarkan pucuknya. Sebagai petani, dia perlu membajai dan membelai mereka agar tumbuh menjadi pepohonan yang teguh dah kukuh. Agar menjadi naungan rendang kepada pepohon yang lain. Agar dia mampu berangkat tanpa rasa ralat.
Ya Tuhan, sekali lagi, pinta dipinjamkan kekuatan dari sisiMu
Fasobrun Jameel. Kesabaran yang baik itu adalah kesabaranku. Pinta seorang ayah yang tua terhadap Tuhan untuk mendepani kecelakaan anak-anaknya. Dan dia, juga meminta ke hadrat Robbul Ghoffar. Untuk diampunkan segala dosa atas kecelakaan yang sebenarnya berasal dari sifat kelemahan seorang hamba. Untuk terus bersabar; sesabar Nabi Yaakob AS dan Nabi Yusuf AS.
“Dan tahanlah dirimu bersama dengan orang-orang yang menyeru Rabbnya di pagi dan di senja hari dengan mengharap keridhaanNya, dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka.”
QS.Al-Kahfi [18]: 28