Bismillahirrahmanirrahim
Saya seorang yang ceria sebenarnya. Mudah mesra dengan sesiapa sahaja. Hatta cleaner di pejabat ini! Dan saya juga bahagia dengan setiap taqdir yang telah tertulis untuk saya.
Ayah selalu berpesan, "Ambillah tanggungjawab atas setiap keputusan yang telah kita pilih!" Ya benar. Itulah yang saya telah, sedang dan akan lakukan. Be responsible. Mungkin juga kerana saya ini sedari kecil dididik untuk berdikari, makanya saya berani untuk membuat keputusan dalam hidup tanpa rasa penyesalan. Oh rasa itu kekadang menghinggap, memutik kecewa namun saya cepat-cepat menepisnya. Hidup ini tidak dapat dinikmati andai setiap detik waktu disimbah rasa sedih, kecewa segala. Telah terlalu banyak kurniaan yang sempurna dari DIA, makanya kenapa saya perlu bersedih segala?
AlhamdulilLahi walLahuAkbar.
Tuhan menjadikan insan untuk mengenali DIA. Dan DIA sesungguhnya begitu banyak bercerita perihal syurga dan rahmah. Untuk apa? Supaya kita-kita ini sentiasa mempunyai pandangan positif dalam hidup medan amal. DIA benar-benar dekat, untuk mendengar setiap impian, harapan dan cita-cita kita. Untuk apa? Supaya kita ini memiliki urgensi untuk meraih segala hikmah yang sebenarnya adalah milik seorang Muslim. Dalam pelayaran itu, kita akan melihat pelbagai sifat-sifat Allah yang sungguh indah dan sempurna. Makin mendekat dan jatuh cinta.
Tuhan begitu penyayang. Oh sungguh banyak nikmat Tuhan untuk saya, dari dalam alam rahim hingga menginjak usia muda ini. Ibu ayah yang sehingga kini begitu memanjakan saya, seolah-olah masih anak kecil. Lelaki belahan jiwa yang sungguh sabar dalam meladeni saya sebagai isteri. Sahabat-sahabat seperjuangan yang saban waktu mengirimkan doa mereka (walau saya tidak tahu) dan memperingatkan. Kesihatan yang dianugerahkan untuk saya terus bekerja mencari rizki buat menyara kehidupan dan meraih saham di akhirah. Dan yang terutama, nikmat Islam dan Iman yang sungguh saya syukuri hingga akhir nyawa ini. Maka, apakah wajar untuk saya berterusan meratapi sedikit ujian dari beribu-ribu nikmat yang dikirimkan olehNYA?
AlhamdulilLahi walLahuAkbar.
Tuhan Maha Mengetahui. Saya mempunyai seribu satu impian dan cita-cita yang belum terlaksana. Dan saya sedang berusaha sebaik mungkin untuk meraihnya. Manusia, yang hidupnya seiring cita-cita dan harapan, dia sebenarnya tidak pernah berjalan sendirian. Dan saya pasti, Tuhan memiliki perancangan yang terbaik untuk saya, Andai ada harapan yang tidak ditunaikan, itu kerana DIA lebih mengetahui. Apabila pintu ini ditutup, ada seratus pintu lain yang dibuka olehNYA. Apabila mimpi yang ini tidak terkabul, ada mimpi-mimpi yang lain menanti untuk direalisasikan. Sungguh, Dia pasti menilai setiap usaha dan peranan kita.
AlhamdulilLahi walLahuAkbar.
Dan DIA lah Pemberi Rizqi, sesuai dengan sifatnya Ar Razaq. Atas setiap pemberian itu, saya benar-benar bahagia dan bersyukur. Terlalu banyak urusan-urusan hidup yang telah dipermudahkan. Saya juga melihat begitu ramai manusia yang ketidakcukupan, yang kesakitan, yang gelisah hatinya, yang menderita kekurangan anggota dan harta dan kehilangan ahli keluarga. Sedangkan saya dicukupkan segala. Saya tidak perlu menjadi kaya-raya untuk bahagia. Saya berterima kasih atas segala apanya. Kerana saya mengimpikan perbendaharaan yang lebih sempurna di alam sana. Dan saya sedang berusaha untuk meraihnya. Kerana saya tahu, Tuhan pasti menunaikan janji-janjiNYA.
AlhamdulilLahi walLahuAkbar.
Dan saya pasti, sahabat-sahabat saya di luar sana (anda tahu anda siapa) juga memiliki rasa yang sama. Rasa mahu berterima kasih kepada Allahu Ahad yang terlalu banyak mencurahkan segala nikmatNYA. Rasa mahu menjadi hamba yang sebenarnya kepada Tuhan Ar Rahman. Rasa mahu berterusan melafazkan kesyukuran atas nikmat-nikmat getaran rasa lewat dzikir, du’a dan qiam.
Kita usaha. Sama-sama. Kerana syurga yang disediakan olehNYA adalah untuk ditempati oleh hamba-hambaNYA yang berusaha untuk mendekatkan diri kepada DIA. Kerana syurga itulah sebenarnya asal kita. Kita mahu kembali ke sana. Mencari abadi pada makna berterima kasih.
Dunia? Sungguh singkat untuk ditangisi. Mati itu pasti. Dan hidup.. Insha Allah!
Dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal soleh, ke dalam Syurga-Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dengan izin Tuhan mereka; ucapan salam sentiasa mereka dapati (dari malaikat) di dalam Syurga-syurga itu.
[QS Ibrahim, 14:23]
