14 October 2009

Satu Fajar

Bismillahirrahmanirrahim


Dia merenung lama. Ada sesuatu yang kerap mengusik ketenangannya kebelakangan ini. Bila punya kesempatan waktu, dia akan menoleh ke belakang, melihat hari-hari yang telah ditinggalkan, dosa dan maksiat yang telah dilakukan. Dia merenung lama. Pada hari-hari itu yang telah banyak mengajarkannya hakikat kehidupan. Jatuh bangun, kelelahan, kesempitan dan bagaimana seharusnya untuk dia bangkit semula. Mencari rahmah Allah Taala yang begitu banyak untuk manusia-manusia ini merebutnya.

Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.[QS Yusuf 12:53] 


Dia tahu. Pemilik Arasy itu sungguh begitu penyayang. Ar RahmanNya, Ar RahimNya dan keluasan pintu keampunan yang dibukaNya untuk hamba-hamba yang mahu bertaubat. Dan dia juga mengingini untuk menjadi sebahagian dari mereka yang mendapatkan keampunan dari Allah Azza Wa Jalla. Hanya sahaja, dia terlalu banyak berdosa. Dan benar-benar dia berharap agar kesempatan taubat itu ada sebelum nyawanya diambil semula. Sungguh, dia adalah hamba yang hina-dina, tenggelam dengan dosa dan maksiat, lantaran kelemahannya sebagai manusia. Hatinya tidak mengingini melainkan Allah Al Ghoffar mengampuninya sebelum ajal menjemput dan dia menutup mata. Dia terlalu ingin kembali menemui Pemiliknya dalam keadaan redho dan diredhoiNYA.

Dia tahu. Dia benar-benar tidak layak untuk syurgaNYA, namun dia benar-benar tidak mampu untuk menanggung siksa nerakaNYA. Jika tidak kerana rahmah Tuhannya, pasti dia menjadi sebahagian mereka yang celaka dan sengsara. Kurniakan lah rahmah MU ya Tuhanku.

Dan lewat fajar ini, dia kembali memanjat doa. Untuk maghfirah dan rahmah. Untuk hidayah dan mujahadah. Untuk harapan-harapan yang tercipta di sudut hatinya. Moga di sana, pada pintu syurga itu, ada dituliskan namanya.