Bismillahirrahmanirrahim
Jiwanya menghangat. Ada pelbagai rasa yang sukar diluahkan lewat pertemuan-pertemuan berkala dengan adinda-adinda di daerah Bandar bunga Anggerik. Pertemuan yang banyak menggali rasa taqwa dan fahmi. Pertemuan yang mewujudkan rasa aman (salimna) tatkala merenung wajah-wajah itu. Rasa bahagia. Apabila menyaksikan kesungguhan mereka untuk mempelajari ilmu Al Quran dan mendalami ilmu sunnah (dari pengajian hadith dan sirah).
Jiwanya menghangat. Dengan kesungguhan gadis-gadis kecil. Yang banyak mengingatkan dia tentang satu waktu, di mana dia juga sebagaimana mereka. Kesungguhan, passion dan keseronokan mengenali addin ini pada sudut yang berbeza dari pengajian formal di dewan pengajian. Agama yang diwarisinya lantaran faktor keturunan. Namun hakikatnya iman itu bukanlah warisan. Ianya harus digali dan disuburkan. Dengan ilmu, kefahaman dan amal-amal yang dishahihkan. Supaya jangan ada jawapan;
"Aku menyaksikan nenek moyangku melakukan begitu dan begitu. Sedangkan nenek moyang mereka tidak mengetahui." [Al Quran]
Sebahagian (manusia) diberi hidayah oleh Allah (untuk beramal soleh); dan sebahagian lagi (ingkar) berhaklah mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri); kerana sesungguhnya mereka telah menjadikan Syaitan-syaitan itu sebagai pemimpin selain Allah. Dan mereka pula menyangka, bahawa mereka berada dalam petunjuk hidayah.
[QS Al 'Araaf, 7:30]
Di negeri berpulau jauh itu, dia mengenali addin ini. Di negeri tanah berubah wajah empat kali setahun. Perhimpunan agung di musim semi* yang menyaksikan semaraknya bebunga merah sakura. Perkongsian pengalaman dari syeikh-syeikh kabir jemputan khas lewat musim panas yang menyaksikan wajah Fuji-san* dari kejauhan. Perjalanan-perjalanan memahat hakikat indahnya ukhuwwah dan itsar lewat musim luruh dan dedaun maple yang menguning jingga. Dan pertemuan menggali hikmah dari Al Quran dan As Sunnah lewat musim dingin yang menyaksikan dunia berwarna putih salju. Dan rutin itu bermula lagi sekembalinya musim semi* berikutnya. Rutin yang menyiapkan gadis-gadis kecil untuk menjadi tonggak rusuk kiri perjuangan suami. Dan untuk membina mujahid dan srikandi bagi membantu memenangkan agama Allah ini.
Sungguh, tanah itu banyak mengajarkan makna kepadanya makna HIDUP sebagai seorang muslim dan mukmin. Makna menjulang dustur Ilahi dan menyebarkan Islam sesuai perutusan Ar Rasul sebagai rahmatan lil’alamin. Ia mengajarkan hakikat perjuangan dan pengorbanan. Dan sungguh, dia merindukan saat-saat itu. Tatkala wajahnya memandang wajah-wajah milik gadis kecil di depannya. Di daerah Bandar bunga Anggerik. Jernih dan menyenangkan. Wajah-wajah gadis kecil yang menjadi harapan ummah ini. Satu hari nanti.
Walau dia belum berkesempatan untuk memiliki malaikat kecilnya sendiri, moga bakti yang sedikit ini mampu menjadi syafaat untuknya tebus di akhirat nanti. Gadis-gadis kecil yang sebenarnya lebih banyak mengajarkan dia tentang ikhlas dan sabar. Lebih banyak mengingatkan dia. Tentang aspirasinya. Untuk menyaksikan Ummahatul Mu’minin, Sumayyah, Ummu Aiman, Rumaysa, Asma’, Zinnirah dilahirkan pada abad ini menjadi penolong untuk Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Muaz, Mus’ab dan seterusnya.
Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenarnya.
DIA lah yang telah memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan); dan DIA tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dalam perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu, 'Muslim' semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi SAKSI yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi SAKSI kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah).
Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada (tali) Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka DIA lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.
[QS Al Hajj,22:78]
Buat gadis kecil,
Keindahan pada hari ini hanyalah sementara. Jalan yang terbentang untukmu lebih berduri dan berliku. Itulah sunnatulLah. Tetapkanlah hati. Moga ALLAH menetapkan kaki kita untuk terus melangkah atas pilihan ini. Moga teguh hati, takkan berbelah bahagi.
Ya Robbi,
Ihdina.
Tunjukkan kami jalanMU yang lurus.
Jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmatMU atas mereka.
Bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan jalan orang-orang yang sesat.