01 November 2009

Mithaqan Ghaliza [iv]

Bismillahirrahmanirrahim


2009 telah berusia 11 bulan. Dan November ini menandakan usia pernikahan mereka yang telah berusia 50 bulan. Buat lelaki itu, belahan jiwanya, Selamat Ulang Tahun. Moga Robbul Muhaimin akan mengurniakan kita dengan segala yang terbaik dalam kehidupan. Untuk usia sementara di sini dan untuk keabadian di alam sana.


Sedari usia kecil, permintaannya mudah dipenuhi oleh kedua orang tua. Dia dimanjakan kerana titlenya sebagai puteri sulung. Dia juga menikmati kejayaan demi kejayaan sedari kecil belita hingga lewat usia remaja. Hidupnya mudah dan bahagia. Dia berusaha dan Tuhan memberi balasan yang sempurna. Dia berterima kasih. Dan Tuhan mengirimkan lelaki itu. Hadiah paling istimewa. Seiring dengannya ujian dan pengorbanan yang mendewasakan dirinya. Pentadbiran hidup makhluq di bawa taqdir Ilahi.

Dan segala puji untuk Anta Rahmani, akhirnya dia mengerti. Erti taat, erti syukur dan rasa terima kasih yang sebenar-benarnya. Dia mengerti hakikat keadilan dan kebijaksanaan Allah Robbul Jalil. Dia meminta dan Tuhan telah menyampaikan hajatnya. Walau dalam bentuk yang berbeza. Namun, itulah yang paling sempurna.


Lelaki itu. Hadiah yang istimewa untuknya dari Pemilik Arasy. Lewat tadahan doanya kepada Tuhan, dia tidak pernah menyangka akan dikabulkan hajat yang ini. Pertemuan mereka diaturkan Tuhan serba unik dan luar biasa. Dia belajar untuk menerima dan menyintai lelaki itu seiring usia pernikahan mereka. Dan setiap hari, dia menyaksikan kesabaran lelaki itu meladeni akhlaq dirinya. Dia melihat kelembutan dan kematangan pada setiap lafaz lelaki itu apabila melayani kemusykilan-kemusykilan agama darinya. Dia belajar menyelami bicara-bicara cinta lelaki itu sehari demi sehari. Dia belajar memahami usaha suaminya untuk memberikan dia makna bahagia semampunya.

Dan segala puji untuk Anta Rahmani. Lantas dia tersedar, Tuhan telah banyak mengabulkan doa-doanya. Walau dalam bentuk yang berbeda. Namun itulah yang paling sempurna.

Lelaki itu. Hadiah yang istimewa. Dikurniakan lewat dimensi doa yang tidak seiring kenyataan. Namun Robbnya Maha Mengerti. Kurniaan lansung dari dedaunan Arasy yang mendidik dia untuk menjadi hamba, 'abdun faqri pada erti kata yang sebenar-benarnya. Mengajarkan dia hakikat fasobrun jameelun, sebagai bukti cinta dan pengorbanan. Membuka hikmah terhadap rasa berterima kasih atas nikmat-nikmat yang telah disampaikan oleh Robbul Ikram.

Anta Rahmani, ya Tuhan kami, untuk 50 purnama. Berkatilah. Untuk esok, lusa dan seterusnya. Permudahkanlah. Dan jangan sesekali membiarkan kami melangkah sendiri.


~ Blackpool musim semi 2006 ~