Bismillahirrahmanirrahim
Dia diputerakan pada hari Isnin, awalan musim semi (Rabi'ul Awal). Dilahirkan sebagai anak yatim kerana ayahanda telah dipanggil mengadap Pemilik lewat dia masih di dalam kandungan bonda. Disusukan oleh seorang wanita dari bani Sa'diyyah, bermukim di desa berlembah hijau, diajarkan bahasa arab dengan tatabahasa yang paling sempurna, dididik dengan akhlaq dan budi yang indah. Dikembalikan semula ke pangkuan keluarga di kota (datuk dan bapa saudara) apabila usia telah mencecah awal remaja. Diajarkan selok belok penternakan dan perniagaan yang menjadi asas kepada pembinaan sifat berani, sabar, dan amanah. Awalan usia belia, dia menerima tanggungjawab sebagai suami kepada wanita yang paling berpengaruh dalam masyarakatnya. Dan menjadi ayah kepada putera dan puteri yang cerdik dan solihat, pembinaan diri dan persediaan untuk menjadi seorang ketua. Yang terhebat dan paling sempurna.
Itulah Muhammad bin Abdullah. Lelaki teristimewa. Paling berpengaruh pada zamannya dan tiada siapa yang mampu menandingi kehebatannya hingga zaman ini dan zaman seterusnya. Bertahun-tahun baginda membawa diri bertafakur puncak Jabal Nur, berkhalwah mencari penyelesaian terhadap masalah umat baginda yang menyembah berhala. Bertafakur menyepi diri memikirkan tentang budaya hedonisma, hiburan membabi-buta, penipuan, penindasan dan kezaliman yang seakan tidak kunjung padam. Memerhati dari puncak tinggi, sebuah kota dari kejauhan, menyaksikan kebobrokan umat yang begitu mencengkam.
Dan akhirnya, di sana, Tuhan mengutus cahayaNya;
Dan akhirnya, di sana, Tuhan mengutus cahayaNya;
"Bacalah! Dengan nama Tuhanmu yang telah Menciptakan!"
Lelaki itu telah dipilih. Di antara jutaan dan jutaan makhluk. Untuk memimpin umat manusia kembali mengikuti acuan awal penciptaan mereka. SibghatalLah. Kembali kepada tujuan asal yakni sebagai 'abid (hamba) dan khalifah (pemimpin). Acuan Robbani. Kembali menelusuri fitrah kejadian, yang menyukai kebaikan-kebaikan dan menentang kezaliman. Walau atas nama apa sekalipun kezaliman itu dilabelkan; dan kebaikan itu dipalsukan. Itulah awalan kepada sebuah perjuangan yang dinamakan 'ad-dakwah'. Seruan, panggilan kepada makhluk manusia untuk mereka kembali kepada acuan hidup yang sebenarnya. Sebagai 'abid dan khalifa.
Lelaki itu terpilih sebagai obor rahmatan lil'alamin. Baginda merubah manusia penjenayah, perompak, pembunuh kepada manusia yang pengasih, adil dan pemaaf. Baginda merubah masyarakat buta huruf dan berkaki ayam kepada pembuka tamadun yang hebat. Dan yang paling utama, Baginda mengenalkan mereka kembali kepada siapa Tuhan dan siapa Hamba. Dan mengkhabarkan tentang Akhirat, pembalasan dosa dan pahala dengan al Mizan, cantiknya Syurga dan azabnya Neraka. Mengajarkan hakikat dunia ini adalah singgahan sementara, hanya ladang buat bercucuk tanam. Untuk hasilnya dituai di dunia sebelah sana.
*************************************************************************************
55 tahun. Baginda memimpin pasukan jihad qital yang pertama. Perang Badr, penentu di antara al Haq dan al Bathil. Sujud yang lama pada malam penentuan, menterjemahkan ketakutan baginda pada kekalahan yang memungkinkan nama Tuhan Robbul Izzati tidak akan dikenang selepas ini. Dan Allah memberi pertolongan dengan bantuan tentera ghaib. Tanah Badr itu menyaksikan pertempuran yang hebat dan bantuan yang ajaib. Tanah Badr itu menjadi saksi pada mukmin yang memiliki qalbun saleem. Itulah kemuncak jihad, pembuktian pada hakikat cinta kepada Allah dan RasulNYA.
Ar Rasul, mengenali Allah dengan sebenar-benarnya. Baginda telah melihat syurga dan neraka pada malam Isra' itu. Dan baginda tidak kembali ke rumah atau ke masjid untuk menambah-nambah dzikir, syukur dan amal. Tetapi baginda memimpin para sahabat berjihad dengan harta dan nyawa. Untuk membebaskan umat manusia seluruhnya dari perhambaan sesama manusia/dunia kepada ketundukan ilalLah, yang Maha Sempurna.
Perjuangan ini tidak pernah berhenti. Disambung dan disambung oleh manusia yang juga dipilih setiap 100 tahun. Mereka bukan manusia maksum, namun dikirim oleh Robbul Rahim untuk memperbaiki urusan agama ummah ini. Menyampaikan peringatan dan menunjukkan jalan pulang. Jalan dakwah, yang tanpanya, nama Allah Robbul Jalil, dan hukumNYA yang Maha 'Adil takkan disembah oleh umat manusia.
Ada rantaian doa yang panjang. Moga dia diberi kekuatan untuk menterjemahkan sunnah rasul mulia dalam kehidupannya yang serba kurang sempurna. Jua untuk kuat dan isytiqamah. Pada meneladani sunnah TERBESAR baginda, yakni perjuangan menuntun manusia seluruhnya kepada jalan Iman dan Islam. Matlamat perjuangan yang difahami oleh sahabat-sahabat baginda dan tabiin-tabiiin seluruhnya, sehingga bertebaranlah mereka menyampaikan dakwah Islam ke segenap pelusuk dunia. Sehingga Islam itu sampai. Kepada dia. Di tanah bernama Malaya.
*************************************************************************************
Dan dia kembali menelusuri sirah tauladan rasul pilihan dari lembaran-lembaran yang dikarang oleh manusia-manusia terpercaya. Cuba mencari motivasi dan energi-energi positif untuk dia terus bertahan bersama bahtera ini. Bahtera jihad perjuangan.
Moga doanya yang itu dimakbulkan Allah. Untuk dia bertetangga, dengan lelaki itu, di syurga.
Moga doanya yang itu dimakbulkan Allah. Untuk dia bertetangga, dengan lelaki itu, di syurga.
Malu rasanya mengatakan cinta
Kepada Dia kekasih ALLAH
Kerana Dia insan mulia
Sedangkan diriku insan biasa
Selawat dan salam buatmu rasul junjungan.
Allahumma salli 'aala Muhammad wa 'aala ahli Muhammad.
